POLITIK > BERITA

GUNA SALURAN RASMI UNTUK ADUAN SALAH LAKU PEMILIHAN PKR 2025 - DR ZALIHA

10/04/2025 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Sebarang aduan berkaitan salah laku dalam Pemilihan PKR 2025 perlu disalurkan melalui saluran rasmi iaitu kepada Jawatankuasa Aduan Pemilihan Parti 2025. 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata setiap aduan yang diterima akan diteliti dan diambil tindakan sewajarnya.        

“Kita tidak galakkan aduan dikemukakan melalui nombor telefon peribadi. Kita mahu semua aduan dibuat secara rasmi, maka ia perlu disalurkan kepada JPP menerusi e-mel atau talian hotline yang telah disediakan,” katanya dalam satu video yang dikongsi menerusi laman Facebook rasminya hari ini. 

Menurut Dr Zaliha, setiap aduan perlu melalui proses yang teliti kerana JPP perlu mendapatkan kepastian sama ada sesuatu aduan itu benar atau sebaliknya. 

“Ada ketikanya kita perlu merujuk semula kepada pengadu dan individu yang diadu. Jadi, beberapa proses perlu dilalui sebelum sebarang tindakan dapat diambil,” jelasnya.

“Kalau aduan itu tidak sahih, kita perlu ketepikan. Namun, jika sahih, proses perlu dilaksanakan seperti dalam sistem kehakiman; kita kena tanya, semak dan pastikan kesahihannya. Oleh sebab itu, kita perlukan aduan yang rasmi,” katanya.

Pada 26 Jan lepas, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang ditetapkan dari 11 hingga 20 April.

Sementara itu, pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) bagi sesi 2025-2028 akan diadakan pada 24 Mei depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan