POLITIK > BERITA

ABD MUHAIMIN MALEK DIUMUM CALON PN BAGI PRK AYER KUNING

09/04/2025 12:32 AM

TAPAH, 8 April (Bernama) -- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah Abdul Muhaimin Malek, 43, diumumkan sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini. 

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Majlis Pengumuman Calon PN di Padang Awam, Tapah Road malam ini.

"Kita telah membuat kajian di semua lapisan masyarakat … tentang ciri-ciri pemimpin atau calon yang diinginkan oleh rakyat Ayer Kuning. 

"Pimpinan PAS, hasil tapisan mengikut keutamaan pada syarat dan kelayakan yang ditentukan, Majlis Syura Ulama PAS bersama pimpinan PN telah membuat keputusan memilih Abdul Muhaimin sebagai calon kita untuk Ayer Kuning,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata Muhaimin yang juga Yang Dipertua PAS Tapah merupakan anak jati Ayer Kuning mampu merampas kerusi itu yang disandang Barisan Nasional (BN).

Turut hadir Presiden Parti Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 

Semalam, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini pula sekali lagi memilih Timbalan Setiausaha Agung PSM Bawani KS sebagai calonnya pada PRK itu.

PRK Ayer Kuning diadakan selepas penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 25 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan