Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini walaupun indeks dolar AS (DXY) dan hasil Perbendaharaan AS yang lebih lemah selepas penurunan penarafan kredit Amerika Syarikat oleh Moody’s Ratings baru-baru ini.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2950/3010 berbanding dolar AS daripada paras 4.2870/2945 pada Isnin.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit meningkat kepada RM4.2873 pada sesi tengah hari berbanding paras RM4.2908 pada tengah hari Isnin sebelum ditutup rendah.
“Kenaikan dihadkan oleh aktiviti pengambilan untung oleh beberapa peniaga,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Reserve Bank of Australia (RBA) memutuskan untuk mengurangkan kadar tunai sebanyak 25 mata asas kepada 3.85 peratus hari ini selepas penurunan kali terakhir pada Februari berikutan prospek ekonomi global yang tidak menentu ekoran kejutan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
"Dolar Australia melemah berbanding dolar AS sebanyak 0.51 peratus kepada US$0.6424 berbanding dolar Australia. Keputusan RBA itu mencerminkan ketidaktentuan akibat daripada tarif AS yang dijangka terus mempengaruhi keputusan dasar monetari di seluruh dunia," katanya.
Mohd Afzanizam berkata data eksport Malaysia hari ini mencatatkan kejutan apabila meningkat sebanyak 16.4 peratus, mengatasi anggaran konsensus sebanyak 7.5 peratus.
"Walaupun masih belum dapat dilihat sama ada trajektori sedemikian boleh dikekalkan pada bulan-bulan akan datang, ekonomi Malaysia pada suku kedua sepatutnya boleh berkembang lebih daripada empat peratus," katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan naik sedikit berbanding euro kepada 4.8340/8408 daripada 4.8344/8429 pada Isnin tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 2.9727/9773 daripada 2.9596/9650 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7428/7509 daripada 5.7420/7521 sebelumnya.
Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan turun berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.73 daripada 7.69/7.71 pada Isnin, menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.3153/3202 daripada 3.3135/3195, berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9856/13.0116 daripada 12.9630/9924 dan jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 261.6/262.1 daripada 260.8/261.4.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial