Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memulakan dagangan Rabu dengan meningkat seketika sebelum susut, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur ketika pelabur terus meneliti data inflasi Amerika Syarikat (AS).
Pada 9.10 pagi ini, indeks penanda aras itu susut 4.49 mata atau 0.28 peratus kepada 1,5577.90 daripada paras penutup 1,582.39, semalam.
Sewaktu dibuka, indeks itu menokok 0.84 mata kepada 1,583.23.
Jumlah dagangan sebanyak 183.35 juta saham bernilai RM106.84 juta.
Dalam pada itu, sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 211 berbanding 178; 276 lain tidak berubah; 1,730 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur berdasarkan sentimen berbeza dengan Nasdaq dan S&P 500 melonjak susulan cadangan pelaburan sebanyak US$600 bilion (US$1=RM4.30) oleh Arab Saudi di AS manakala Dow Jones tertekan akibat penurunan harga saham UnitedHealth sebanyak 18 peratus.
Beliau berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi April yang lebih rendah daripada jangkaan menyebabkan hasil Perbendaharaan10 tahun AS kekal pada 4.471 peratus.
Di peringkat tempatan, Thong berkata bursa dijangka menyaksikan aliran masuk dana asing ke pasaran selepas menarik diri sejak awal tahun.
"Kami percaya kenaikan trend ini akan dipacu oleh kembalinya dana ke ekuiti daripada bon selain aliran masuk dana asing ke dalam pasaran tempatan," katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga Nasional meraih dua sen masing-masing pada RM10.22 dan RM14.36; Public Bank rugi satu sen kepada RM4.49, CIMB berkurangan sembilan sen kepada RM7.22 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.05.
Bagi saham aktif, Jiankun tidak berubah pada tiga sen, Nationgate naik empat sen kepada RM1.67, Innature menambah satu sen kepada 24 sen, NexG menokok 1.5 sen kepada 34 sen dan Notion meraih 2.5 sen kepada 72 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 18.54 mata kepada 11,778.36, Indeks FBMT 100 turun 25.92 mata kepada 11,534.73, dan Indeks FBM Emas Shariah turun 9.78 mata kepada 11,704.08.
Indeks FBM 70 pula susut 10.21 mata kepada 16,751.57 namun Indeks FBM ACE meningkat 4.04 mata kepada 4,729.12.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 36.57 mata kepada 18,539.35; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.51 mata kepada 158.06; Indeks Tenaga meningkat 1.58 mata kepada 722.73 dan Indeks Perladangan menokok 5.86 mata kepada 7,361.59.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial