PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH EKORAN PENGAMBILAN UNTUNG

29/04/2025 11:08 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka sedikit rendah pada Selasa berikutan pengambilan untung selepas kenaikan yang dialami bursa tempatan baru-baru ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.62 mata kepada 1,519.97 daripada 1,521.59 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.61 mata lebih rendah kepada 1,520.98.

Lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 115 berbanding 105, manakala 219 kaunter tidak berubah, 2,001 kaunter tidak diniagakan dan 117 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 85.49 juta saham bernilai RM35.33 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian semalam, menandakan sesi keempat berturut-turut merekodkan kenaikan.

Sehubungan itu, pelabur melalukan aktiviti pengambilan untung selepas bursa meningkat selama beberapa hari, katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd pula menjelaskan pelabur akan memantau Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Pemberhentian Kerja (JOLTS) Amerika Syarikat (AS) bagi Mac serta keyakinan pengguna AS bagi April yang akan dikeluarkan oleh Conference Board lewat hari ini untuk menentukan pergerakan pasaran.

Firma pembrokeran itu juga memaklumkan Wall Street ditutup sedikit tinggi pada Isnin apabila pelabur menyambut baik kenyataan positif oleh Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent mengenai kemajuan yang dicapai rundingan perdagangan dengan kalangan negara Asia termasuk Korea Selatan, India dan Jepun.

Pelabur juga sedang menunggu laporan pendapatan daripada syarikat bermodal besar minggu ini iaitu Microsoft dan Meta yang dijadualkan Rabu, serta Apple dan Amazon pada Khamis.

Antara saham wajaran tinggi , Maybank turun satu sen kepada RM9.98, manakala Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing berkurangan dua sen kepada RM4.43 dan RM13.58, sementara CIMB kekal pada RM6.99 dan IHH Healthcare naik lima sen kepada RM6.94.

Bagi saham aktif, NEXG dan Aizo masing-masing naik satu sen kepada 38 sen dan 10 sen, Thriven Global menokok setengah sen kepada 10 sen, Iconic Worldwide tidak berubah pada sembilan sen, manakala WTEC Group yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, menguncup setengah sen kepada 24.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 9.27 mata kepada 11,291.53, Indeks FBMT 100 berkurangan 10.63 mata kepada 11,061.14, Indeks FBM Emas Syariah susut 4.94 mata kepada 11,143.38, Indeks FBM 70 kurang 10.59 mata kepada 15,864.75, dan Indeks FBM ACE susut 7.56 mata kepada 4,622.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 26.54 mata kepada 18,136.78, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.32 mata kepada 149.29, Indeks Tenaga susut 0.90 mata kepada 674.67 namun, Indeks Perladangan naik 6.67 mata kepada 7,230.29.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan