PASARAN > BERITA

HARGA MINYAK SOYA, UNJURAN PENGELUARAN JEJAS NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH

29/04/2025 10:21 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, diasak kelemahan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan kebimbangan mengenai peningkatan pengeluaran dalam beberapa minggu akan datang.

Peniaga Minyak Sawit David Ng berkata harga minyak kacang soya susut selepas peniaga meneliti kemungkinan bekalan minyak bijian global lebih tinggi yang seterusnya menjejaskan sentimen pasaran minyak sawit.

“Penurunan harga minyak kacang soya baru-baru ini didorong terutamanya oleh jangkaan keadaan tanaman lebih baik di kawasan pengeluar utama yang hanya mencetuskan sentimen kurang memberangsangkan bagi minyak makan," katanya kepada Bernama.

Ng juga membangkitkan kebimbangan berkaitan peningkatan pengeluaran MSM susulan pemulihan bermusim pengeluaran yang lazimnya dilihat pada suku kedua tahun ini yang boleh memberi tekanan ke atas harga.

Berikutan perkembangan itu, beliau mengunjurkan paras sokongan segera pada RM3,850 satu tan  manakala rintangan pada RM4,080 satu tan.

Pada akhir urus niaga hari ini, kontrak Mei 2025 turun RM30 kepada RM4,010 satu tan, Jun 2025 berkurangan RM16 kepada RM3,973 satu tan manakala Julai 2025 berkurangan RM22 kepada RM3,943 satu tan.

Kontrak Ogos 2025 susut RM27 kepada RM3,935 satu tan, September 2025 berkurangan RM28 kepada RM3,928 satu tan dan Oktober 2025 menguncup RM27 kepada RM3,924 satu tan.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan berada pada RM4,100 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan