Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada akhir sesi pagi hari ini susulan aktiviti pembelian berterusan diterajui oleh perkhidmatan kewangan serta sektor produk perindustrian dan perkhidmatan.
Ia susulan keyakinan bahawa ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan reda serta kenyataan positif daripada Presiden AS Donald Trump.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.47 mata atau 0.36 peratus kepada 1,506.66 daripada 1,501.19 semasa ditutup pada Rabu.
CIMB menambah 12 sen kepada RM6.97, Sunway meningkat 8.0 sen to RM4.45, Press Metal Aluminium melonjak 5.0 sen kepada RM4.80.
Kaunter tersebut mengheret naik indeks komposit dengan gabungan 3.75 mata.
Pelabur juga dijangka memantau dengan teliti perkembangan ke atas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan delegasinya yang kini berada di AS untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung tarif timbal balik untuk faedah bersama.
Indeks utama itu dibuka rendah 0.64 mata kepada 1,500.55 dan bergerak antara 1,500.40 hingga 1,507.45 sepanjang sesi dagangan pagi.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 403 berbanding 353 manakala 404 kaunter tidak berubah, 1,255 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.70 bilion saham bernilai RM924.49 juta.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur mungkin akan memantau kemajuan mesyuarat (rundingan mengenai tarif timbal balik) Tengku Zafrul di AS.
“Walaupun kita tidak boleh mengharapkan reaksi atau keputusan segera daripada AS, sebarang kenyataan dikeluarkan oleh delegasi Malaysia akan mempengaruhi reaksi pelabur,” katanya kepada Bernama.
Tengku Zafrul dijadual bertemu dengan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer dan pegawai berkaitan lain di Washington DC pada 24 April.
Negara-negara anggota ASEAN paling teruk terjejas oleh tarif itu, Malaysia juga tidak terkecuali dengan dikenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus.
Kecuali China, tarif timbal balik itu ditangguh selama 90 hari.
Ditanya mengenai perkembangan positif dan negatif serta bagaimana reaksi pasaran, Mohd Sedek berkata bagi senario perkembangan positif, walaupun tanpa hasil disahkan, sebarang kenyataan positif mungkin akan melonjakkan FBM KLCI melebihi paras 1,518 (harga penutup pada 3 April) dalam jangka pendek, ia adalah senario beliau jangkakan.
Tambahan pula, data Bursa Malaysia semalam menunjukkan belian asing bersih, katanya.
“Sekiranya data pasca pasaran hari ini juga mencerminkan aliran masuk asing berterusan, ia akan mengukuhkan keyakinan mengenai rundingan yang sedang berjalan.
"Saham berorientasikan eksport terutamanya dalam FBM EMAS, dijangka mendapat manfaat daripada momentum ini," katanya.
Mohd Sedek berkata sebaliknya, sebarang perkembangan negatif tidak mungkin menyebabkan kemerosotan pasaran yang mendadak tetapi boleh membawa kesan yang minimum.
"Pelabur dijangka mengambil sikap yang lebih berhati-hati, 'tunggu dan lihat', menjalankan penilaian mereka sendiri sebelum membuat sebarang langkah besar," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Gas naik 16 sen kepada RM16.82, Maxis meningkat 4.0 sen kepada RM3.62, Hong Leong Bank menambah 14 sen kepada RM19.80, bagaimanapun Mr DIY susut 3.0 sen kepada RM1.67 dan Kuala Lumpur Kepong merosot 24 sen kepada RM19.62.
Bagi saham aktif, SFP Tech menokok 2.0 sen kepada 22.5 sen, Pos Malaysia melonjak 4.5 sen kepada 28 sen, My EG Services meningkat 1.0 sen kepada 90 sen dan CIMB menambah 12 sen kepada RM6.97, manakala Digistar tidak berubah pada 4.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 41.77 mata kepada 11,163.37, Indeks FBMT 100 meningkat 42.56 mata kepada 19,945.32 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 39.15 mata kepada 10,985.79, Indeks FBM 70 menambah 71.87 mata kepada 15,622.75, manakala Indeks FBM ACE turun 15.45 mata kepada 4,587.24.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 85.99 mata kepada 18,024.20, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menokok 0.89 mata kepada 146.08, Indeks Tenaga naik 2.99 mata kepada 664.72, namun Indeks Perladangan susut 7.61 mata kepada 7,206.88.
Sementara itu, menurut makluman kepada Bursa Malaysia, dagangan dalam sekuriti berkaitan CJ Century Logistics Holdings Bhd (CJCEN) dihentikan pada 9.00 pagi dan disambung semula mulai 10.00 pagi hari ini berikutan pengumuman CJCEN mengenai panduan 2025 dengan unjuran pendapatan lebih rendah antara RM610.2 juta hingga RM610.2 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial