PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN EMAS DITUTUP RENDAH SUSULAN AKTIVITI PENGAMBILAN UNTUNG

23/04/2025 09:14 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan bermulanya aktiviti pengambilan untung selepas komoditi itu melambung ke paras tertinggi semalam, di tengah-tengah harapan ketegangan tarif AS-China akan menurun.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata terdapat beberapa petunjuk bahawa Presiden AS Donald Trump kelihatan melembutkan nada kenyataannya terhadap China, menyatakan kesediaan untuk menurunkan kadar tarif sekiranya perjanjian dimuktamadkan antara kedua-dua negara itu.

Harga emas yang menjadi penerima manfaat utama daripada ketidaktentuan pasaran semasa telah menurun sedikit kepada US$3,338.20 seauns.

"Usaha untuk mendapatkan emas secara tergesa-gesa adalah hasil daripada sentimen penghindaran risiko. Bon Perbendaharaan AS yang dianggap sebagai aset selamat mungkin telah kehilangan daya tarikannya dalam keadaan semasa," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan harga emas meningkat kira-kira dua peratus pada Selasa, melepasi paras US$3,500 setiap auns troy buat kali pertama dalam sejarah.

Pada penutup dagangan hari ini, kontrak bulan semerta April 2025 jatuh kepada US$3,340.60 bagi setiap auns troy daripada US$3,398.70 setiap auns troy pada Selasa, manakala kontrak Mei 2025 menurun kepada US$3,349.60 setiap auns troy daripada US$3,407.70 setiap auns troy.

Kontrak Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 semuanya turun kepada US$3,364.70 setiap auns troy daripada US$3,422.40 setiap auns troy semalam.

Jumlah dagangan meningkat kepada 290 lot daripada 159 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 343 kontrak daripada 188 kontrak sebelum ini.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 22 April, harga emas fizikal berada pada US$3,433.55 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan