Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi pada hari dagangan terakhir minggu ini disokong oleh petunjuk positif serantau dan sentimen pelabur yang memulih, walaupun hanya sedikit sahaja lagi untuk mencecah paras psikologi 1,500.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 16.13 mata, atau 1.09 peratus, kepada 1,499.40 berbanding 1,483.27 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras dibuka 1.63 mata lebih rendah kepada 1,481.64 dan kemudiannya susut kepada 1,480.52 pada awal dagangan sebelum kembali mengukuh untuk ditutup pada paras tertinggi harian.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi dengan 543 berbanding 256, manakala 441 kaunter tidak berubah, 1,183 tidak diniagakan dan 29 kaunter digantung dagangannya.
Jumlah dagangan susut kepada 1.69 bilion unit bernilai RM1.24 bilion berbanding 2.40 bilion unit bernilai RM1.60 bilion pada Khamis.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pemangkin utama kepada prestasi memberangsangkan hari ini dicetuskan daripada lawatan berprofil tinggi Presiden China Xi Jinping ke beberapa negara Asia.
“Lawatan ini menyemarakkan optimistik merentas pasaran Asia, dengan kebanyakan indeks ditutup dalam keadaan positif,” katanya kepada Bernama.
Seperti yang dilaporkan oleh Bernama baru-baru ini, sentimen pelabur bertambah baik susulan lawatan rasmi Presiden Xi ke Asia Tenggara — yang meliputi Vietnam, Malaysia, dan Kemboja — bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin memuncak dengan Amerika Syarikat (AS).
Inisiatif diplomatik itu secara meluas dilihat sebagai langkah strategik untuk mengimbangi kesan tarif yang ketara yang dikenakan oleh Washington ke atas eksport China serta memupuk hubungan serantau yang lebih erat.
Dari segi domestiknya pula, Mohd Sedek berkata sektor barangan pilihan dan barangan asas pengguna kekal sebagai tunjang yang mempertahankan pasaran, disokong oleh asas-asas yang kukuh dan permintaan isi rumah yang berterusan.
"Saham-saham yang berkaitan dengan peruncitan dan penggunaan isi rumah mencapai prestasi yang lebih baik, mencerminkan keadaan makroekonomi Malaysia yang stabil.
"Pelabur yang ingin memanfaatkan trend ini boleh mempertimbangkan saham-saham mewah pengguna dengan prospek pendapatan yang kukuh, walaupun pemilihan saham secara selektif tetap penting memandangkan jurang penilaian yang wujud," tambahnya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan disokong oleh minat belian dalam saham-saham teknologi, perbankan, perladangan dan tenaga.
“Kebanyakan indeks serantau utama turut mencatat kenaikan, walaupun pasaran di Australia, Hong Kong dan Singapura ditutup sempena cuti Good Friday,” katanya.
Dalam kalangan saham-saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank melonjak 15.0 sen kepada RM10.02, CIMB Group meningkat 12.0 sen kepada RM6.88, Public Bank naik 6.0 sen kepada RM4.39, IHH Healthcare menambah 4.0 sen kepada RM6.89 dan Tenaga Nasional menokok 2.0 sen kepada RM13.50.
Antara saham aktif, Ingenieur Gudang naik 1.0 sen kepada 4.0 sen, Tanco Holdings meningkat 3.0 sen kepada 89 sen, manakala NexG, Velesto Energy, dan Widad Group masing-masing meningkat setengah sen kepada 32 sen, 16 sen, dan 3.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 121.19 mata kepada 11,121.50, Indeks FBMT 100 melonjak 120.63 mata kepada 10,904.73, Indeks FBM Emas Shariah menambah 96.18 mata kepada 10,910.13, Indeks FBM 70 menokok 186.22 mata kepada 15,613.63, dan Indeks FBM ACE naik 17.25 mata kepada 4,575.38.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 252.62 mata kepada 18,033.52, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.85 mata kepada 145.08, Indeks Tenaga meningkat 10.52 mata kepada 665.87 dan Indeks Perladangan menokok 83.23 mata kepada 7,226.38.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.22 bilion unit bernilai RM1.14 bilion berbanding 1.14 bilion unit bernilai RM1.40 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran bagaimanapun merosot kepada 173.07 juta unit bernilai RM96.45 juta daripada 983.89 juta unit bernilai RM106.68 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 295.24 juta unit bernilai RM94.17 juta berbanding 271.06 juta unit bernilai RM92.17 juta sebelumnya.
Kaunter-kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 165.98 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (289.98 juta), pembinaan (120.47 juta), teknologi (172.04 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (49.77 juta), hartanah (141.13 juta), perladangan (14.02 juta), REITs (7.84 juta), dana tertutup (4,100), tenaga (145.00 juta), penjagaan kesihatan (45.63 juta), telekomunikasi dan media (17.79 juta), pengangkutan dan logistik (30.20 juta), utiliti (24.80 juta) dan amanah perniagaan (7,100).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial