PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH

18/04/2025 09:41 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup rendah hari ini untuk hari kelima berturut-turut kerana kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran menyebabkan tekanan kepada harga komoditi itu.

“Kami melihat paras sokongan pada RM3,950 satu tan metrik dan paras rintangan pada RM4,100 setan,” kata peniaga minyak sawit David Ng kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM dilihat diniagakan tidak berubah pagi ini sebelum ditutup rendah hari ini kerana pasaran menjangkakan lebih banyak pembetulan harga berdasarkan jangkaan peningkatan kukuh dalam pengeluaran.

“Dalam pada itu, permintaan domestik tempatan untuk minyak sawit dan produknya masih rendah bagi pasaran India,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2025 jatuh RM67 kepada RM4,117 satu tan, Jun 2025 merosot RM54 kepada RM4,016 setan, Julai 2025 berkurangan RM36 kepada RM3,975 satu tan, Ogos 2025 menguncup RM20 kepada RM3,961 setan, September 2025 turun RM6 kepada RM3,959 satu tan, manakala Oktober 2025 merosot RM1 kepada RM3,960 setan. 

Jumlah dagangan turun kepada 72,684 lot daripada 82,063 lot semalam manakala kepentingan terbuka susut kepada 239,000 kontrak daripada 241,147 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk April Selatan jatuh RM50 kepada RM4,250 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan