PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN EMAS DITUTUP TINGGI SUSULAN KETIDAKTENTUAN GLOBAL

16/04/2025 09:19 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi hari ini, seiring dengan keuntungan di COMEX selepas komoditi itu diperkukuhkan oleh ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, bulion itu bersedia untuk memberi impak apabila peniaga melihat emas sebagai perlindungan makro terhadap ketidaktentuan ekonomi.

"Emas tidak sesuai untuk permainan teknikal jangka pendek dan lebih kepada kedudukan strategik memandangkan pasaran sedang menghampiri masa kritikal perang perdagangan semasa, memilih untuk berada pada pihak China atau Amerika Syarikat.

"Dalam konteks ini, logam kuning tersebut berada dalam kedudukan terbaik bagi konflik ekonomi seperti ini," katanya kepada Bernama.

Pada penutup, bulan semerta April 2025 meningkat kepada US$3,311.60 satu auns troy daripada US$3,237.10 satu auns troy yang disaksikan pada hari Selasa, manakala kontrak Mei 2025 naik kepada US$ 3,322.00 satu auns troy daripada US$3,247.50 satu auns troy sebelum ini.

Jun 2025, Julai 2025, dan Ogos 2025 semuanya menokok kepada US$3,336.70 setiap auns troy berbanding US$3,261.60 satu auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan jatuh kepada 371 lot daripada 730 lot, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 426 kontrak daripada 754 kontrak.

Berdasarkan penetapan tengah hari 15 April oleh London Bullion Market Association, harga emas fizikal berada pada US$3,219.60 satu auns troy.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan