Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah hari ini, terjejas berikutan kebimbangan terhadap permintaan yang lemah dan peningkatan output dalam beberapa minggu yang akan datang.
Pedagang minyak sawit David Ng berkata permintaan yang lemah berpunca daripada minyak sayuran alternatif yang lebih murah seperti minyak kacang soya.
“Peningkatan output adalah selaras dengan trend bermusim pengeluaran yang lebih tinggi dalam tempoh ini. Kami menjangkakan trend menaik dalam pengeluaran akan berterusan sehingga September.
“Oleh itu, kami melihat sokongan pada RM4,100 satu tan dan rintangan pada RM4,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup, kontrak April 2025 jatuh RM107 kepada RM4,354 satu tan, Mei 2025 menurun RM40 kepada RM4,293, Jun 2025 susut RM42 kepada RM4,170, Julai 2025 merosot RM33 kepadaa RM4,107 satu tan, Ogos 2025 berkurangan sebanyak RM28 kepada RM4,072, dan September 2025 menyaksikan penurunan sebanyak RM26 kepada RM4,048 satu tan.
Jumlah dagangan menjunam kepada 80,065 lot berbanding 85,695 lot yang dicatatkan pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 244,009 kontrak daripada 243,199 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal untuk April Selatan kekal tidak berubah pada RM4,520 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial