AM

K9 Akan Digerakkan Bantu Kesan Lelaki Dihanyutkan Arus Deras

22/05/2025 10:33 PM

GUA MUSANG, 22 Mei (Bernama) -- Unit Pengesan K9 akan digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang selepas kenderaannya dihanyutkan arus ketika menyeberangi Sungai Sumar, Kuala Betis di sini, Selasa lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata pasukan SAR sebelum ini menggunakan kaedah pencarian di permukaan air namun hingga 4.30 petang tadi mangsa masih belum ditemukan.

“Sehubungan itu, kami telah memohon bantuan Unit Pengesan K9 untuk menyertai operasi SAR dan pasukan ini akan dihantar ke lokasi menerusi Unit Udara Bomba ke Pos Bihai.

“Operasi terpaksa ditangguhkan sementara berikutan cuaca hujan dan keadaan yang semakin gelap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi SAR turut disertai beberapa agensi lain termasuk polis, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Kementerian Kesihatan melibatkan 18 anggota dengan enam jentera.

Selasa lepas, seorang lelaki dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya gagal melepasi arus deras ketika cuba menyeberangi Sungai Sumar, Kuala Betis.

Mangsa ketika itu dalam perjalanan ke Pos Bihai atas urusan kerja bersama dua penumpang lain yang sempat menyelamatkan diri dengan memecahkan cermin kenderaan sebelum ia dihanyutkan arus.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan