Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 22 Mei (Bernama) -- Protes oleh pelajar universiti di wilayah paling timur Indonesia, Papua, bertukar ganas pada Khamis, mengakibatkan empat anggota polis cedera dan sebuah trak polis dibakar, menurut pihak berkuasa.
Pelajar dari Universiti Cenderawasih berhimpun di pintu masuk kampus mereka di Jayapura bagi menuntut pengurangan yuran pengajian.
Polis dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa protes itu tidak mendapat kebenaran, dan walaupun bermula secara aman, ketegangan meningkat apabila pelajar cuba menghalang pintu masuk kampus, sekali gus mencetuskan pergelutan dengan pihak berkuasa.
“Berlaku aksi tolak-menolak antara pelajar dan anggota kami. Keadaan menjadi ganas apabila batu dibaling ke arah polis,” kata Ketua Polis Jayapura, Komisioner Fredrickus Maclarimboen.
Beliau berkata sebuah trak polis dibakar, manakala empat anggota cedera akibat lebam dan luka, dengan kesemua mereka menerima rawatan di Hospital Polis Bhayangkara.
“Tiada penunjuk perasaan ditahan setakat ini, namun siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam kekecohan, termasuk mereka yang bertanggungjawab membakar kenderaan dan mencederakan anggota kami,” tambahnya.
Pasukan keselamatan, termasuk anggota tentera, turut dikerah bagi mengawal keadaan, manakala polis kekal berkawal di luar kawasan kampus dan hanya menjaga pintu masuk sepanjang demonstrasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial