GEORGE TOWN, 22 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri akan melaksanakan teknologi ‘Track and Trace’, platform pintar yang membolehkan pemantauan menyeluruh terhadap durian hasil keluaran Pulau Pinang mulai 1 Jun ini sempena musim ‘raja buah’ negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata pembangunan teknologi kerjasama dengan MIMOS Sdn Bhd itu, berikutan aduan yang diterima daripada pengusaha tempatan berkenaan penipuan dan eksploitasi durian tempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sebab banyak durian dari negeri lain, mereka (peniaga) sebut bahawa durian dari Balik Pulau, Pulau Pinang yang akhirnya menyebabkan pengusaha setempat terpinggir, malah ada juga durian dari Thailand yang dijual tepi jalan dan mereka cakap ia durian Pulau Pinang sedangkan bukan.
“Sehubungan dengan itu, penggunaan teknologi ‘Track and Trace’ diharapkan dapat memberikan solusi kepada permasalahan yang dihadapi oleh pengusaha durian tempatan, khususnya di negeri ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Melalui pelaksanaan teknologi itu, beliau yakin dapat meningkatkan kecekapan operasi, memastikan pematuhan terhadap peraturan dan membina kepercayaan terhadap produk durian tempatan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata langkah itu juga selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh industri durian dan melindungi kepentingan pengusaha tempatan.
Beliau berkata teknologi ‘Track and Trace’ itu juga hasil kerjasaman Pejabat Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang.
Beliau berkata durian dari Malaysia, termasuk Pulau Pinang terus mendapat permintaan yang tinggi kerana jaminan kualiti berdasarkan standard pensijilan myGAP yang diiktiraf negara pengimport seperti China, dengan jumlah export durian Pulau Pinang sebanyak 67,203 kilogram (kg) pada tahun lepas.
Durian jenis Musang King D197 dan Ochee atau Black Thorn D200 dari Pulau Pinang, antara durian yang paling popular diexport, manakala Kim Long D230 dan Cenderawasih D229 klon terbaharu yang dikeluarkan dan didaftarkan di negeri ini pada 2023.
Pulau Pinang mempunyai lebih 30 variasi durian, antaranya Dato Nina (D2), Lipan Bara, Ikan Emas, Kulit Hijau (D165), Tekka (D160), Labu (D163), Lipan, Kunyit, Ang Bak Kia, Khoon Poh (D164), Ais Krim, Lin Feng Jiao, Muntri (D14), dan Yi Dian Hong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial