Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kalangan industri semikonduktor di Asia Tenggara perlu bergabung tenaga untuk bangkit bersaing sebagai satu blok bersatu bagi melonjakkan peranan kolektif ASEAN dalam rantaian nilai semikonduktor global.
Menyedari kepentingan itu, Persatuan Industri Semikonduktor Singapura (SSIA) telah mencadangkan penubuhan Pakatan Industri Semikonduktor ASEAN (ASIA).
Pengarah SSIA Ang Wee Seng memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa ASIA akan membolehkan industri semikonduktor serantau bersaing sebagai satu blok di peringkat global dengan gabungan kekuatan masing-masing yang saling melengkapi.
Sehubungan itu, beliau berkata SSIA mengharapkan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN untuk memperjuangkan ASIA selain mengumpulkan sokongan daripada negara anggota di rantau ini.
ASIA juga, kata Ang, bertujuan mentransformasi usaha berasingan menjadi satu platform bagi inovasi, pelaburan dan berdaya tahan.
“Usaha ini bagi mengubah jarak atau kedekatan menjadi satu pakatan (yang kuat). ASIA diharapkan bukan sekadar satu persatuan, sebaliknya pakatan serantau dengan kerjasama berstruktur merentasi kerajaan, industri dan akademia,” katanya.
Industri semikonduktor tunjang ekonomi masa depan
Ang juga menyifatkan industri semikonduktor sebagai pemacu semua aspek daripada kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum hingga tenaga hijau dan mobiliti.
Singapura misalnya mempunyai kepakaran dalam pembuatan maju, penyelidikan dan pembangunan dalam industri semikonduktor manakala Malaysia sebagai peneraju dalam proses pengujian dan pembungkusan maju dan Vietnam pula sedang menyerlah dalam pembuatan bidang itu.
Bagi Filipina, negara itu mempunyai kepakaran dalam proses hiliran, manakala litar bersepadu menguasai pasaran Indonesia, menurut “Source of Asia”, sebuah pusat sehenti untuk pengembangan pasaran, menyediakan kepakaran di lapangan bagi membimbing syarikat dalam strategi pertumbuhan mereka di Asia Tenggara, Korea Selatan dan Asia yang lebih luas.
Saiz pasaran semikonduktor ASEAN, bernilai US$95.91 bilion pada 2024, diunjurkan berkembang daripada US$109.62 bilion pada 2025 kepada US$212.33 bilion menjelang 2032, menurut “Fortune Business Insights”, firma yang menyediakan laporan untuk membantu perusahaan dan organisasi berkembang.
SSIA sedang mendapatkan sokongan daripada semua negara anggota ASEAN melalui Jawatankuasa ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (COSTI).
“Sokongan COSTI kemudiannya akan membuka jalan untuk penyelarasan selanjutnya melalui badan sektoral, seperti Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) atau Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab terhadap Sains dan Teknologi.
“Ini, seterusnya, akan membantu menggalakkan penyertaan daripada peserta industri di seluruh dan di luar rantau ini,” katanya.
Cadangan itu kini sedang dibincangkan secara aktif dalan kalangan pihak berkepentingan terpilih.
Ang berkata Malaysia bukan sahaja akan diwakili dalam perikatan serantau ini malah juga akan melaksanakan peranan penting dalam memajukan agenda ini.
Malaysia Boleh Lonjak Peranan ASEAN dalam Rantaian Nilai Semikonduktor Global
Seperti Singapura, Malaysia ialah hab semikonduktor antarabangsa dan berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan peranan kolektif ASEAN dalam rantaian nilai semikonduktor global.
Sebagai antara pemain utama semikonduktor di ASEAN, Malaysia berperanan penting dalam rantaian nilai serantau terutama dalam pembuatan bahagian belakang, perkhidmatan reka bentuk dan pembangunan bakat.
“Kami berharap Malaysia akan menyumbang kemantapannya kepada ASIA dengan menawarkan idea, kepimpinan dan kerjasama rentas sempadan terutama dalam bidang seperti mobiliti tenaga kerja, pembungkusan maju dan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan yang dikongsi,” katanya.
Berikutan Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Ang berharap Putrajaya akan menyokong cadangan ASIA dengan memudahkan dialog di peringkat dasar dan meraih sokongan tinggi daripada semua kementerian dan negara anggota ASEAN.
“Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini memberi peluang yang tepat pada masanya dan strategik yang diharapkan membantu membentuk agenda untuk menyertakan kerjasama semikonduktor sebagai tonggak utama bagi daya tahan digital dan ekonomi serantau,” katanya.
Walaupun negara anggota ASEAN telah mencapai kemajuan yang membanggakan, beliau berkata daya saing kolektif mereka akan meningkat dengan ketara melalui penjajaran strategi yang lebih luas.
“Satu frasa yang amat bermakna kepada saya ialah: ‘The future is not just Made in ASEAN — it’s Created by ASEAN’ (Masa depan bukan sahaja ‘Buatan ASEAN’ -- ia ‘Dicipta oleh ASEAN’). Saya yakin ASIA akan mengukuhkan kerjasama dan membantu menjadikan visi ini menjadi realiti,” kata Ang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial