EKONOMI

Kontrak Akses ATM Ke Satelit X-band Airbus Dilanjutkan

21/05/2025 05:15 PM

LANGKAWI, 21 Mei (Bernama) -- Airbus Defence and Space (Airbus) telah memeterai kontrak dengan Kementerian Pertahanan (Kementah) untuk melanjutkan akses Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke perkhidmatan satelit X-band milik kumpulan itu, mencerminkan sokongannya kepada infrastruktur komunikasi pertahanan Malaysia.

Diumumkan semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, perjanjian yang diperbaharui itu menjamin bahawa ATM akan terus mendapat manfaat daripada komunikasi satelit X-band Airbus sehingga 2029, melanjutkan dan memperluaskan keupayaan kritikal yang menyokong operasi darat, laut dan udara angkatan bersenjata itu.

"Kejayaan ini meraikan kerjasama satu dekad antara Airbus dan Malaysia dalam komunikasi selamat, berikutan kejayaan pelancaran satelit Measat-3B oleh Airbus.

"Satelit itu, yang dimiliki dan dikendalikan oleh firma satelit Malaysia, MEASAT telah menjadi asas kepada perkongsian yang berkekalan ini," kata Airbus melalui satu kenyataan hari ini.

Ketua Pertahanan dan Angkasa Airbus untuk Asia-Pasifik, Zakir Hamid berkata sejak 2014, perkhidmatan satelit X-band Airbus telah menjadi kritikal terhadap struktur komunikasi strategik Malaysia.

"Dalam persekitaran keselamatan yang semakin kompleks dan saling berkaitan, komunikasi satelit ketenteraan yang boleh dipercayai adalah kritikal untuk membolehkan kawalan dan perintah yang selamat, kesedaran persekitaran masa nyata serta pengambilan keputusan yang berkesan dalam persekitaran yang dicabar atau terpencil," katanya.

Menurut Airbus, kontrak itu turut merangkumi Program Kerjasama Perindustrian (ICP) yang direka bagi memperdalam kerjasama ekosistem teknologi pertahanan serta angkasa antara Airbus dan Malaysia yang semakin bertambah.

"Di bawah inisiatif ini, Airbus akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tempatan untuk berkongsi kepakaran, membina kapasiti serta menyokong pembangunan jangka panjang satelit dan keupayaan peperangan elektronik termasuk mengukuhkan kerjasama sedia ada antara Airbus dan MEASAT," katanya.

Pada 2019, Airbus dipilih oleh MEASAT untuk membina MEASAT-3D, satelit telekomunikasi pelbagai misi baharu bagi menggantikan kapasiti dan menyokong perniagaan teras firma itu di Malaysia, Asia, Timur Tengah dan Afrika.

Satelit tersebut dilancarkan pada Jun, 2022. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan