KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya pemilihan Proton e.MAS 7 sebagai kenderaan rasmi negara sempena Kepengerusian ASEAN 2025, mampu menjadi pemangkin kepada promosi dan pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) negara.
Perdana Menteri berkata perkara itu khususnya ketika negara menjadi tuan rumah untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Beliau berkata pemilihan itu bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, tetapi juga keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui industri automotif masa hadapan.
“Inisiatif ini juga seiring dengan komitmen Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun-tahun mendatang, selaras dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau negara di bawah kerangka Malaysia MADANI.
“Marilah kita terus menyokong inovasi tempatan dan berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari, berdaya saing dan berteknologi tinggi,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
Dalam hantaran itu, Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman memandu uji kenderaan elektrik pertama keluaran Proton itu, di sekitar kawasan pejabat beliau hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial