KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia buat julung kalinya akan menjadi tuan rumah Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia (WITEX) 2025 serta Festival Kebudayaan dan Kesenian Dunia (WCAF) 2025 di sebuah hotel di Bandar Sunway, dari 22 hingga 24 Ogos ini.
Ekspo berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), dengan WITEX 2025 adalah edisi ketiga yang sebelum ini dikenali sebagai Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Asia (AITEX), dan penjenamaan semula itu mencerminkan pertumbuhan pesat sektor pelancongan Islam dan perdagangan global dengan identiti baharu bertaraf antarabangsa.
MATA dalam kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran itu dijangka lebih dinamik dengan penyertaan lebih 150 gerai pameran serta penyertaan aktif negara-negara Islam dan bukan Islam, termasuk negara ASEAN, negara anggota BRICS dan pemain industri pelancongan antarabangsa.
“Bertemakan Empowering the Future of Islamic Tourism and Trade through Culture and Innovation, WITEX 2025 dan WCAF 2025 akan menghimpunkan penggubal dasar, pemegang taruh pelancongan, pelabur serta orang awam dalam satu platform pelbagai dimensi bagi memperkukuh perdagangan, pelaburan dan penglibatan antara budaya.
“Kemasukan adalah percuma untuk orang ramai dan pameran akan berlangsung setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 8 malam,” menurut kenyataan itu.
WITEX 2025 akan menampilkan pelbagai segmen berprofil tinggi yang bertujuan menggalakkan pelaburan pelancongan antarabangsa dan kerjasama silang budaya, antaranya Persidangan Pelancongan Islam Dunia (22 hingga 23 Ogos), Sidang Kemuncak Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif (24 Ogos), dan Pelaburan Pelancongan Asia (segmen utama WITEX 2025 yang dirangka untuk menarik pelaburan ke dalam projek pelancongan Islam di Asia, Timur Tengah dan Afrika) serta Sesi Rangkaian Perniagaan B2B.
Berlangsung bersama komponen perniagaan, WITEX dan WCAF turut menawarkan program kebudayaan yang menarik untuk pengunjung awam seperti Pavilion Malaysia dan persembahan kebudayaan, promosi percutian dan pelancongan halal, cabutan bertuah serta baucar penerbangan.
“Menutup tirai minggu itu ialah Majlis Anugerah Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia (WITA) 2025, acara gala berprestij berkonsep ‘tali leher hitam’ yang mengiktiraf kecemerlangan dalam pelancongan, perdagangan dan diplomasi budaya Islam.
“Majlis anugerah itu akan berlangsung pada 25 Ogos, dengan lebih 30 anugerah disampaikan kepada agensi, korporat dan tokoh terpilih, selain diserikan dengan persembahan muzik serta iringan Kombo Orkestra,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden MATA Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun berkata WITEX 2025 bukan sekadar pameran semata-mata, sebaliknya sebuah jambatan perdagangan dan kepercayaan bertaraf global.
“Ia mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam ekonomi pelancongan Islam serta kesiapsiagaan negara untuk menerima kehadiran dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
WITEX 2025 dan WCAF 2025 turut disenaraikan sebagai program rasmi sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan menjadi sebahagian daripada persediaan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026. Penganjuran ini mendapat sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Selangor Tourism, Etiqa Takaful, Batik Air Malaysia dan Housecoff.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial