KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Sunway Construction Group Bhd (SunCon) bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025 meningkat kepada RM75.71 juta, naik daripada RM32.40 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil menokok 132 peratus kepada RM1.40 bilion daripada RM604.80 juta sebelum itu, dipacu oleh prestasi yang lebih baik daripada segmen pembinaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SunCon berkata segmen pembinaan mencatat prestasi pemulihan yang memberangsangkan dengan hasil naik sebanyak 152 peratus daripada RM543.6 juta pada suku pertama 2024 kepada RM1,369.9 juta pada suku pertama 2025.
“Segmen ini mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM112 juta pada suku semasa, hampir tiga kali ganda berbanding keuntungan yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
“Prestasi cemerlang ini dipacu oleh kemajuan pesat beberapa projek pusat data sepanjang suku tersebut,” katanya.
Syarikat turut mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 5.00 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Pengarah Urusan Liew Kok Wing berkata trajektori positif dijangka berterusan disokong oleh kemajuan projek-projek pusat data, selaras dengan komitmen syarikat untuk terus menghasilkan pulangan yang lebih mampan kepada pemegang saham.
“Kami terus melihat aliran tender projek pusat data yang sihat. Kemajuan terbaharu daripada pentadbiran Amerika Syarikat untuk menyemak semula sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) merupakan petanda baik untuk Malaysia, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai hab serantau bagi pelaburan infrastruktur digital.
“Sunway Construction juga telah mengumumkan satu kontrak baharu bernilai RM393 juta bagi projek pusat data hari ini, satu perkembangan positif yang menunjukkan pelaburan pusat data di Malaysia kekal kukuh,” kata Liew.
Setakat Mei 2025, SunCon telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM2.2 bilion, bersamaan dengan 49 peratus daripada sasaran peningkatan semula nilai perolehan kontrak 2025 yang ditetapkan antara RM4.5 bilion hingga RM6.0 bilion.
“Kumpulan optimis akan mencatat pertumbuhan positif dalam tahun kewangan 2025, disokong oleh nilai perolehan kontrak sedia ada yang kukuh berjumlah RM6.6 bilion setakat 31 Mac 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial