Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MAKKAH, 20 Mei (Bernama) -- Jemaah haji Malaysia dinasihatkan memakai pelitup muka berikutan keadaan cuaca di sini berdebu dan jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras tidak sihat iaitu 180, semalam.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata cuaca panas dan berdebu yang melanda Makkah sejak dua hingga tiga hari kebelakangan ini turut menuntut jemaah agar bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi perubahan cuaca sepanjang tempoh ibadah haji.
"Oleh itu TH (Tabung Haji) menasihatkan semua jemaah agar sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar dari bilik, sama ada untuk ke masjid atau ke kawasan lain. Sebaiknya jadikan pemakaian pelitup muka sebagai amalan harian demi menjaga kesihatan masing-masing," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata pihak TH akan terus memaklumkan keadaan semasa cuaca dan laporan IPU melalui saluran rasmi seperti WhatsApp bagi memastikan jemaah sentiasa peka dengan perkembangan terkini.
"Selain itu, jemaah turut diingatkan agar tidak terdedah lama kepada panas terik dengan suhu semasa mencecah antara 30 hingga 44 darjah celsius dan dijangka boleh meningkat sehingga 50 darjah celsius dalam masa terdekat.
“Justeru persediaan fizikal dan mental amat penting, terutama menjelang wukuf yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.
Sementara itu Mohd Hisham berkata TH kini giat menganjurkan program persediaan ibadah haji dan persiapan ke Masyair bagi memastikan jemaah Malaysia benar-benar bersedia secara fizikal, mental dan spiritual menjelang kemuncak ibadah haji.
"Bagi tujuan tersebut, jemaah haji digalakkan untuk menghadiri ceramah agama yang dianjurkan di maktab-maktab penginapan masing-masing serta berjumpa dengan Petugas Ibadah Haji Tanah Suci (PIHTAS) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan sebarang persoalan berkaitan ibadah," katanya.
Selain itu, Mohd Hisham berkata TH turut menyediakan saluran e-Bimbingan bagi membolehkan jemaah mempelajari ilmu berkaitan dengan Haji dengan lebih mudah secara dalam talian termasuk mengakses rakaman video.
"Jemaah juga boleh berinteraksi secara langsung menerusi panggilan telefon atau mesej bersama pembimbing ibadah haji yang berada di Tanah Suci menerusi e-Taib," katanya.
Mohd Hisham berkata jemaah turut digalakkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, serta berdoa dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT menjelang Hari Wukuf.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial