DUNIA

EU Dedah Ramalan Pertumbuhan Ekonomi Di Tengah Ketegangan Perdagangan

19/05/2025 06:10 PM

BRUSSELS, 19 Mei (Bernama-dpa) -- Suruhanjaya Eropah dijangka membentangkan ramalan ekonomi musim bunga pada Isnin, dengan tumpuan khusus terhadap kelembapan pemulihan ekonomi Jerman serta kesan meluas ketegangan perdagangan merentasi Atlantik, lapor agensi berita Jerman dpa.

Dalam unjuran terbaharunya pada November lalu, badan eksekutif Kesatuan Eropah (EU) itu menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jerman meningkat sebanyak 0.7 peratus tahun ini.

Bagaimanapun, kerajaan Jerman akhir bulan lalu memaklumkan bahawa ekonominya dijangka tidak akan mencatat sebarang pertumbuhan pada 2025.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut meramalkan tiada pertumbuhan bagi ekonomi terbesar Eropah itu pada tahun ini.

Jerman kini berdepan dua tahun berturut-turut kemelesetan akibat tekanan inflasi, harga tenaga yang tinggi dan kejatuhan eksport yang menjejaskan sektor perniagaan.

Dalam unjuran keseluruhan pada November lalu, Suruhanjaya Eropah menjangkakan pertumbuhan ekonomi EU pada kadar 1.5 peratus, manakala 1.3 peratus bagi negara-negara dalam zon euro yang terdiri daripada 20 anggota.

Namun, ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi kesan negatif kepada prospek terbabit.

"Kami melihat tarif AS ini sebagai faktor yang akan memberi impak negatif terhadap ekonomi EU dan juga ekonomi AS sendiri, malah turut memberi kesan negatif secara global," kata Pesuruhjaya Ekonomi EU, Valdis Dombrovskis baru-baru ini.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan