AM

LIMA'25 Bukti Usaha Kerajaan Teruskan Keupayaan Sektor Penerbangan Dan Maritim

19/05/2025 08:44 PM

LANGKAWI, 19 Mei (Bernama) -- Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) bakal menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), yang memperlihatkan usaha kerajaan meneruskan pembangunan keupayaan industri tempatan dalam sektor penerbangan dan maritim.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara MoU yang akan ditandatangani pada pameran bermula esok sehingga 24 Mei ini, termasuk membabitkan program pembangunan satelit pertahanan, kecerdasan buatan (AI) dalam domain serta usaha mewujudkan pusat kecemerlangan penerbangan.

“Apa yang kita lihat pada LIMA’25, ia bukanlah platform untuk memasarkan aset, tetapi pada masa yang sama, kita akan melihat usaha untuk meningkatkan kemampuan pertahanan lokal dan keupayaan industri pertahanan tempatan negara,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan terakhir LIMA’25 di sini.

Turut hadir timbalannya Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohd Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.

Mohamed Khaled berkata pada edisi ke-17 kali ini, Kementerian Pertahanan juga akan melancarkan kenderaan perisai 4x4 (pacuan empat roda) yang menggunakan lebih 50 peratus komponen tempatan.

“LIMA menjadi medan kita menonjolkan aset-aset ketenteraan keluaran tempatan. Ini satu peluang untuk syarikat tempatan menunjukkan produk mereka di LIMA. Kita akan melancarkan produk baru ketenteraan perisai (4x4), yang dibina dalam negara meliputi komponen tempatan.

“Lebih 50 peratus komponen komponen tempatan, bermakna kita akan mulakan usaha membekal, menyediakan keluaran tempatan berbentuk kenderaan darat dan sebagainya. Untuk negara, kita memulakan membina dan membuat sendiri aset-aset sedemikian,” katanya.

LIMA 2025 dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC), bertemakan Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan, menekankan aspek inovasi serta daya saing dalam kalangan pemain industri maritim dan aeroangkasa.

Pameran dwitahunan yang berlangsung di Langkawi, Kedah pada 20 hingga 24 Mei ini, merupakan pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan pada 1991.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan