AM

Kementerian Perpaduan Negara Lulus RM2.1 Juta Untuk Program Misi Sukarelawan Siswa

19/05/2025 05:33 PM

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara meluluskan peruntukan RM2.1 juta bagi pelaksanaan MADANI Berkhidmat Sukarelawan Siswa serta program kesukarelawanan lain pada tahun ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata program itu akan diadakan di Sabah, Sarawak, Pahang, Perak dan Vietnam seperti diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ke-13, di sini yang turut membincangkan pelbagai agenda termasuk pencapaian 2024 serta hala tuju tahun ini.

Beliau berkata YSS diminta meneliti keperluan mewujudkan dasar atau pelan tindakan kesukarelawan yang komprehensif sebagai kerangka panduan nasional dalam memperkasa gerakan kesukarelawanan secara lebih tersusun melibatkan semua agensi kerajaan terlibat.

"YSS perlu berperanan sebagai satu agensi kerajaan yang proaktif. Pelaksanaan program harus berfokus dan tumpuan diberikan kepada Misi Sukarelawan Siswa, Tuisyen KAMI, Ejen Perpaduan serta program pembangunan kepimpinan sukarelawan siswa," katanya dalam kenyataan hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Sementara itu Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan sama memaklumkan mesyuarat berkenaan turut memutuskan agar Program Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa dijenamakan semula kepada MADANI Berkhidmat Sukarelawan Siswa.

"Sehingga kini, YSS telah melahirkan sebanyak 2,153 pemimpin sukarelawan siswa yang berjaya melaksanakan 9,665 projek komuniti di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan antara pencapaian YSS sepanjang tahun lepas termasuk pelaksanaan lima misi sukarelawan siswa di 20 lokasi di Vietnam, Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan serta pelaksanaan 735 projek komuniti dengan 4,539 jam sukarelawan di lapangan yang memberi manfaat kepada 146,211 orang dalam komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan