JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Bella: Siti Bainun Kemuka Bukti Baharu, Mohon Panggil Ibu Zayn Rayyan

19/05/2025 04:37 PM

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Pihak pembelaan Siti Bainun Abd Razali telah memohon untuk memanggil ibu Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat oleh wanita tersebut membabitkan saksi pendakwaan dalam kes Pengasas Rumah Bonda itu. 

Peguam Haijan Omar memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Azman Abdullah, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Dr Choo Kah Sing bahawa pihak pembelaan telah memfailkan notis usul pada 7 Mei lepas untuk mengemukakan keterangan baharu atau tambahan dalam rayuan akhir Siti Bainun, 33.

"Pada masa sama, pihak perayu memohon supaya dibenarkan memanggil Ismanira untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat pada 25 Julai 2024.

“Perayu juga memohon kebenaran mahkamah untuk memanggil semula saksi pendakwaan kelima (Yasmin Nahar Mahmood) dalam kes Siti Bainun untuk pemeriksaan lanjut berkenaan laporan polis ini," katanya pada prosiding rayuan Siti Bainun terhadap hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dan 21 Julai ini ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa mengesahkan pihaknya telah menerima notis usul itu dan panel berkenaan kemudian menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran notis tersebut dan rayuan Siti Bainun.

Siti Bainun dalam afidavit sokongan berkata keterangan baharu atau tambahan tidak pernah timbul sewaktu perbicaraan kesnya dan ia adalah relevan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen memutuskan Siti Bainun bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, dan memerintahkan wanita itu dipenjara serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Siti Bainun kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Sabitan dan hukuman itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2024.

Siti Bainun didakwa melakukan perbuatan itu sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan