AM

Jabal Nur, Pendakian Menyuluh Cahaya Keinsafan Bagi Jemaah Haji

17/05/2025 03:45 PM

 

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 17 Mei (Bernama) -- Peluang menziarahi Jabal Nur atau Bukit Cahaya, tempat turunnya wahyu pertama bukan sekadar lawatan ke tempat sejarah biasa, sebaliknya menjadi medan renungan rohani kepada jemaah haji bagi menghayati nikmat terbesar umat Islam, iaitu al-Quran.

Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Tabung Haji (TH) Dr Mohd Bakri Aziz @ Saari berkata Jabal Nur yang terletak berhampiran Kota Makkah dengan ketinggian 642 meter dari paras laut itu, membawa mesej mendalam yang wajar dihayati oleh setiap jemaah haji sekali gus memperkukuh pegangan terhadap ajaran Islam meskipun berhadapan dengan cabaran dalam kehidupan.

"Bagi jemaah haji yang ada kesempatan untuk mendaki, walaupun ia bukan syarat datang ke Makkah (syarat ibadah haji), tetapi pendakian ke puncak Jabal Nur itu pendakian yang memberi keinsafan kepada jemaah tentang betapa besar nikmat Islam yang telah diwarisi.

"Dalam masa yang sama jemaah boleh mengambil ibrah dan pengajaran daripada peristiwa agung penurunan wahyu pertama yang menjadi titik tolak kepada penyebaran Islam," katanya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata di puncak bukit yang sunyi itu, terdapat Gua Hira, lokasi bersejarah yang menyaksikan penurunan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW menerusi surah al-‘Alaq, yang membuka lembaran baharu dalam sejarah ketamadunan manusia.

Selain itu, gua berkenaan juga menjadi saksi pengorbanan Sayyidatina Khadijah RA, isteri Nabi Muhammad SAW yang menghantar makanan semasa baginda beruzlah (menyendiri) di gua berkenaan.

"Pengorbanan dan sokongan Sayyidatina Khadijah dalam perjuangan awal Islam wajar menjadi inspirasi kepada umat Islam hari ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan