KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi COVID-19 dengan teliti baik di peringkat antarabangsa mahupun dalam negara.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM menyedari trend peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan di negara jiran seperti Thailand dan Singapura.
“Ketika ini Malaysia mencatatkan purata sekitar 600 kes seminggu, yang masih berada di bawah ambang amaran nasional dan tiada kematian dilaporkan tahun ini,” katanya dalam hantaran di X hari ini.
Beliau berkata Thailand mencatatkan 16,607 kes baharu COVID-19 dan enam kematian antara 4 hingga 10 Mei (Bangkok Post, 2025) manakala Singapura merekodkan anggaran 14,200 kes baharu dari 27 April hingga 3 Mei iaitu meningkat daripada 11,100 kes pada minggu sebelumnya, dengan 133 kes dimasukkan ke hospital (The Straits Times, 2025).
Dzulkefly berkata amaran berkaitan situasi itu telah dikongsi dengan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan untuk penilaian risiko berterusan serta tindakan kesiapsiagaan sewajarnya.
Sementara itu, Bahagian Kawalan Penyakit KKM dalam kenyataan memaklumkan Malaysia merekodkan sejumlah 11,727 kes COVID-19 di seluruh negara dari Minggu Epidemiologi (ME) 1 hingga ME19/2025 (hingga 10 Mei lepas) dan kes tertinggi dicatatkan pada minggu awal tahun iaitu ME1/2025 dengan 960 kes dan 1,229 kes masing-masing pada ME2/2025 dan ME3/2025.
“Kes harian menunjukkan trend penurunan berterusan hingga mencapai 210 kes pada ME15/2025. Bagi tempoh ME16 hingga ME19/2025, purata sekitar 600 kes seminggu telah direkodkan, dan jumlah ini masih berada di bawah paras ambang amaran,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan COVID-19 kekal sebagai penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342).
“Pelaporan kes melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta dikemas kini secara masa nyata melalui sistem e-Notifikasi iaitu platform pemantauan Bahagian Kawalan Penyakit KKM. la bertujuan memastikan pengesanan awal dan tindakan balas segera dapat dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
KKM turut melaksanakan pemantauan melalui sistem survelan khabar angin yang membolehkan pengesanan awal terhadap potensi kejadian luar jangka berdasarkan maklumat tidak rasmi daripada masyarakat, media dan saluran lain yang sah sekali gus memperkukuhkan sistem amaran awal negara.
Menurut kenyataan itu, sebarang ancaman kepada kesihatan masyarakat akan dimaklumkan oleh KKM dari semasa ke semasa dan orang ramai dinasihatkan terus mematuhi langkah kesihatan awam, mendapatkan rawatan segera sekiranya bergejala, dan melindungi golongan berisiko tinggi melalui tindakan yang bertanggungjawab.
Kementerian itu turut menasihatkan orang ramai terus mengamalkan langkah pencegahan kawalan kendiri khususnya kumpulan berisiko tinggi yang digalakkan mendapatkan vaksinasi COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan, komplikasi serius dan kematian manakala maklumat mengenai penyakit itu boleh didapati di laman sesawang rasmi KKM di www.moh.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial