Oleh Adnan Mohamad
KOTA BHARU, 16 Mei (Bernama) -- Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mencatatkan peningkatan ketara di Kelantan, selepas 8,801 kes dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-19 tahun ini, berbanding hanya 2,348 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata angka itu menunjukkan peningkatan lebih tiga kali ganda, menyamai trend jangkitan yang berlaku pada tahun 2022.
“Daripada jumlah itu, 12 wabak masih aktif melibatkan empat di Pasir Puteh, empat di Kuala Krai serta masing-masing satu di Pasir Mas, Machang, Gua Musang dan Kota Bharu.
“Peningkatan kes berlaku di semua daerah, dengan Kota Bharu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,060 kes, manakala daerah lain merekodkan antara 400 hingga 850 kes,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dr Zaini turut memaklumkan bahawa trend mingguan kekal tinggi dengan purata 895 kes direkodkan setiap minggu.
Beliau berkata majoriti kes melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah, dengan gejala ringan seperti demam serta ruam pada tangan, kaki, mulut dan lidah.
“Jabatan ingin menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas, serta memastikan alat permainan, bilik air dan barangan yang sering disentuh kanak-kanak dibersihkan secara berkala.
“Pengusaha pusat jagaan kanak-kanak juga disaran menjalankan saringan kesihatan di pintu masuk, melakukan sanitasi berkala serta mengelakkan perkongsian barangan peribadi dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial