PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Sebanyak 99,601 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara tahun ini sehingga minggu epidemiologi (ME) ke-17 berakhir 26 April lepas, meningkat 266 peratus berbanding 27,236 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 10,421 kes atau 10 peratus adalah berkaitan wabak manakala 89,180 kes lagi berlaku secara sporadik.
“Lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu Selangor (27.2 peratus), diikuti Johor (9.9 peratus), Perak (9.4 peratus), Kelantan (7.2 peratus) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6.9 peratus.
"Secara kumulatif, terdapat 2,649 wabak berbanding 1,339 wabak bagi tempoh yang sama pada 2024 iaitu peningkatan sebanyak 49 peratus. Daripada keseluruhan wabak ini, sebanyak 578 berlaku di taska (22 peratus), 480 di tadika (18 peratus), 292 di tabika (11 peratus) dan 251 di prasekolah (sembilan peratus)," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan sebanyak 38,285 premis diperiksa di seluruh negara melibatkan taska, tadika, tabika, prasekolah serta rumah kediaman dan sebanyak 1,140 premis diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala 430 premis ditutup secara sukarela.
"Setakat ini, tiada kematian berkaitan HFMD dilaporkan," menurut kenyataan itu dan memaklumkan sebanyak 220 sesi libat urus dan taklimat telah dilaksanakan di seluruh negara oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk memberi pendidikan kesihatan bagi membendung penularan HFMD.
KKM dalam pada itu menyarankan ibu bapa dan penjaga untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas, serta memastikan alat permainan, bilik air dan barangan yang kerap disentuh kanak-kanak dibersihkan secara berkala bagi membendung penularan HFMD.
“Barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi tidak boleh dikongsi. Kanak-kanak bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan HFMD," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial