GEORGE TOWN, 16 Mei (Bernama) -- Polis sedang memburu saki-baki anggota kumpulan penjenayah yang diketuai oleh seorang lelaki yang maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Lintang Bukit Jambul, Bayan Lepas dekat sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata polis telahpun mengenal pasti beberapa lagi individu yang terlibat dengan aktiviti jenayah lelaki itu dan sedang giat memburu mereka.
Beliau berkata berdasarkan siasatan polis, lelaki yang ditembak itu merupakan ketua ‘geng’ tersebut, yang terlibat dalam pelbagai jenayah antaranya samun, pecah rumah dan samun dobi layan diri di Pulau Pinang.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk ke atas lapan individu yang ditahan semalam dan kami sedang dapatkan maklumat lanjut berhubung kegiatan mereka," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Semalam polis mengesahkan lelaki yang maut selepas berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian kira-kira 4.05 pagi itu disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah di Pulau Pinang, dan pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berusia 35 tahun itu mempunyai 34 rekod jenayah serta 15 rekod berkaitan narkotik
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial