AM

Polis Johor Keluar 1,448 Saman Trafik, Langgar Lampu Isyarat Kesalahan Tertinggi

15/05/2025 09:49 PM

JOHOR BAHRU, 15 Mei (Bernama) -- Polis Johor mengeluarkan sebanyak 1,448 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Utama yang dilancarkan selama tiga hari bermula pada Isnin lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) itu antaranya menumpukan penguatkuasaan bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan termasuk garisan berkembar, memandu sambil menggunakan alat komunikasi serta melebihi had kelajuan.

Beliau berkata kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah merekodkan jumlah saman tertinggi, iaitu sebanyak 547 saman, diikuti 475 saman kerana memandu melebihi had laju.

"Selain itu, sebanyak 60 saman dikeluarkan atas kesalahan memotong di garisan berkembar, 55 saman menggunakan alat komunikasi semasa memandu dan 48 saman kerana memotong barisan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 263 saman lagi dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, aksesori tidak sempurna, ubah suai ekzos, tiada lesen dan lesen tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar serta tiada perlindungan insurans.

Beliau berkata operasi itu bertujuan mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas sekali gus mengurangkan kadar kemalangan. 

Kumar berkata punca utama kemalangan disebabkan kecuaian pengguna jalan raya yang memandu melebihi had laju berdasarkan kajian yang dilakukan sejak Januari hingga April lepas.

Justeru, beliau berkata pihaknya akan terus konsisten dalam penguatkuasaan undang-undang dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang gagal mematuhinya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan