PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan bersetuju melanjutkan Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) bermula 19 Mei ini hingga 30 April tahun depan khusus untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata keputusan melanjutkan program pengampunan pulang pendatang tanpa izin secara sukarela yang tamat pada 31 Mac lepas itu, mendapat persetujuan agensi kawal selia termasuk Jabatan Peguam Negara.
“PRM 2.0 tidak terbuka kepada pendatang tanpa izin yang telah mendaftar namun gagal membuat perjalanan keluar menerusi program sebelum ini.
“Ia juga tidak terbuka kepada mereka yang disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen dan mempunyai waran tangkap atau dikehendaki pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen di sini hari ini.
PRM 2.0 merupakan program pengampunan pulang pendatang tanpa izin secara sukarela dengan mereka dikecualikan tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun mengikut kesalahan tertentu.
Saifuddin Nasution berkata melalui program ini kompaun sebanyak RM500 dikenakan bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dikeluarkan, manakala kompaun RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
“Selain itu, pemohon turut dikenakan bayaran Pas Khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran.
“Kanak-kanak warga asing bawah 18 tahun yang tinggal lebih masa atau dibawa masuk ke Malaysia tanpa suatu pas yang sah dikecualikan daripada kompaun, namun perlu membayar Pas Khas yang sama,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata individu dengan status perundangan khas seperti pasangan warganegara yang tinggal lebih masa perlu hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit untuk tujuan penyelarasan pas.
“Kementerian menyeru semua pihak termasuk perwakilan asing, majikan dan komuniti warga asing untuk menyebarluaskan maklumat ini dan menggalakkan penyertaan awal bagi mengelakkan kesesakan menjelang tarikh akhir,” katanya.
Pada 15 Mac lepas, Saifuddin Nasution berkata Jabatan Imigresen dalam proses untuk melanjutkan Program Repatriasi Migran yang dijadualkan tamat pada 31 Mac.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial