AM

Operasi Lorong Bas Jalan Ampang Diperluas Ke Waktu Puncak Petang Mulai 19 Mei

16/05/2025 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Operasi lorong bas di Jalan Ampang akan diperluas ke waktu puncak petang bermula 19 Mei ini, melibatkan tempoh dari 4.30 petang hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, melibatkan jarak sepanjang 0.62 kilometer dari persimpangan Jalan Memanda 1 hingga ke persimpangan Jalan Memanda 9 serta dari persimpangan Jalan Cengal ke persimpangan lampu isyarat Jalan Wawasan Ampang.

“Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada penumpang laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang) dan laluan 303 (Hentian Mulia Jaya – Lebuh Ampang), selain laluan bas perantara dari Pandan Indah, Bukit Indah, Mulia Jaya dan Lembah Jaya,” menurut kenyataan itu. 

Sejak diperkenalkan pada 3 Julai 2023, lorong bas Jalan Ampang mencatatkan peningkatan purata penumpang harian daripada 12,819 kepada 14,424 orang, peningkatan sebanyak 12.52 peratus, selain berjaya mengurangkan masa perjalanan antara 10 hingga 15 minit.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria berkata pihaknya yakin kelancaran perjalanan dan penjimatan masa hasil inisiatif itu akan terus menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam.

Beliau turut menyeru semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan tidak menyalahgunakan lorong bas demi kepentingan bersama.

Penilaian prestasi pelaksanaan itu akan dijalankan selama tiga bulan bersama JKR, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Kementerian Pengangkutan bagi menilai aspek masa perjalanan, kelajuan bas, keselamatan jalan raya dan tahap kesesakan lalu lintas di kawasan terlibat.

Orang ramai disaran merancang perjalanan menggunakan aplikasi PULSE yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store, manakala lokasi bas boleh disemak secara masa nyata menerusi Google Maps.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disalurkan melalui platform media sosial rasmi Rapid KL.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan