AM

DUN Pulau Pinang Tafakur, Rakam Takziah Pemergian Tun Abdullah

16/05/2025 12:37 PM

GEORGE TOWN, 16 Mei (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini merakamkan ucapan takziah dan penghormatan kepada Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lepas.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini hari ini memohon Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam menghadiahkan al-Fatihah, manakala yang bukan beragama Islam bertafakur atau memanjatkan doa mengikut pegangan dan kepercayaan masing-masing.

“Sebelum sidang ini melangkah ke wacana dan bicara yang lebih jauh, marilah kita bersama-sama mengambil sedikit ruang waktu untuk mengenang jasa serta sumbangan besar Allahyarham yang telah kembali ke rahmatullah.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas inisiatif menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Beliau menyifatkan langkah tersebut bukan sekadar satu simbol penghormatan, malah merupakan sebuah manifestasi penghargaan mendalam terhadap jasa dan kepemimpinan Abdullah dalam membina negara bangsa, khususnya dalam mendorong pembangunan strategik yang memberi manfaat besar kepada negeri ini. 

Ramli juga berharap nama anak kelahiran Bayan Lepas itu terus mekar dalam lipatan sejarah Pulau Pinang dan terpahat kukuh dalam sanubari rakyat yang sentiasa menghargai jasa dan budinya.

Tun Abdullah, yang mesra disapa “Pak Lah”, meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Allahyarham merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2008 dan Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, Kepala Batas sebelum melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Sekolah Menengah Agama  Daeratul Maarifil Al-Wataniah dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan