AM

Lima Dekad Perjalanan Wartawan: Antara Dakwat, Skrin Dan Semangat Yang Tidak Padam

16/05/2025 10:37 AM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

PASIR PUTEH, 16 Mei (Bernama) -- Dunia kewartawanan tidak terlepas daripada arus kemajuan teknologi yang mengubah wajah penulisan daripada dakwat dan kertas kepada papan kekunci serta skrin sentuh namun bagi Wan Muhamad Wan Adam, perubahan zaman bukan halangan untuknya terus menulis dengan jiwa sama, tanpa gentar, tanpa menyerah.

Sudah lebih lima dekad sebagai wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang berusia 78 tahun itu tidak pernah mengeluh, meskipun perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan dalam gaya penulisan, bahasa mahupun teknologi.

Siapa sangka, minatnya terhadap dunia penulisan bermula di celah rak-rak buku, ketika  menjadi pengurus kedai buku di Pasir Puteh pada 1972, saat usianya baru mencecah 25 tahun.

“Saya mula menulis kisah nelayan, petani dan kehidupan desa, kemudian hantar ke Utusan Melayu dan Berita Harian. Masa itu, saya tak fikir soal bayaran, saya cuma hendak suara rakyat kecil disampaikan,” katanya kepada Bernama di Kampung Telaga Gayong, baru-baru ini.

Selain bertugas sebagai pekerja am di Sekolah Kebangsaan Kamil 1, beliau mula bergelar wartawan sambilan Bernama sejak 1973 dan terus setia hingga 2023. 

“Banyak pahit manis saya lalui, semata-mata untuk pastikan maklumat yang betul sampai kepada rakyat,” katanya.

Menyingkap perbezaan ketara antara penulisan era 1970-an dengan masa kini, Wan Muhamad berkongsi pengalamannya menyaksikan sendiri evolusi ejaan bahasa Melayu mengikut peredaran zaman.

“Dulu kita tulis ‘dzat’, sekarang ‘zat’. ‘Tidor’, ‘kampong’, ‘warong’, semua dah berubah ikut perkembangan zaman. Saya rasa bertuah sebab sempat lalui transisi itu sendiri,” katanya sambil tersenyum mengenang nostalgia berita tulisan tangan.

Bapa kepada tiga anak dan datuk kepada 10 cucu ini turut melihat bagaimana teknologi mengubah wajah penulisan.

“Dulu saya menulis dengan pen dan buku nota. Sekarang telefon bimbit dan komputer riba jadi alat utama. Memang laju, tapi cabarannya lain pula,” katanya.

Mengimbau suka duka sepanjang bergelar wartawan, beliau mengingati detik-detik mencabar sewaktu membuat liputan di Lojing, Gua Musang sekitar 1980-an, ketika jalan raya belum dibina dan masih terdedah kepada ancaman pengganas komunis yang masih menghuni rimba.

“Saya ikut Allahyarham Tan Sri Mohamed Yaacob (Menteri Besar Kelantan ketika itu) dan pasukan askar berjalan kaki dari Lojing ke Cameron Highlands. Tiada jalan berturap, kami redah hutan dan rasa takut itu memang ada. Tapi demi cerita untuk masyarakat, saya sanggup ambil risiko,” katanya.

Menjelang Hari Wartawan Nasional(HAWANA) yang disambut pada 29 Mei setiap tahun, Wan Muhammad berpesan agar pengamal media sentiasa bersedia dengan perubahan, terutamanya dalam era teknologi dan kecerdasan buatan (AI). 

"Tapi jangan sesekali lupa, jiwa wartawan bukan pada gajet tapi pada semangat dan kejujuran menyampaikan kebenaran," katanya.

Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran kali pertama pada 2018, merupakan acara tahunan menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan