DUNIA

Majlis Keselamatan PBB Desak Israel Hentikan Sekatan Bantuan Ke Gaza Di Tengah Amaran Kebuluran

15/05/2025 04:58 PM

NEW YORK, 15 Mei (Bernama-Xinhua) -- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel agar menamatkan sekatannya ke atas Gaza, menyaksikan bekalan makanan semakin berkurangan dan keadaan kemanusiaan semakin merosot, lapor Xinhua.

Dalam satu mesyuarat tergempar pada Selasa mengenai krisis kemanusiaan Gaza yang semakin buruk, Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan Tom Fletcher berkata situasi kemanusiaan di Gaza semakin parah akibat sekatan Israel yang menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan, air dan bahan perlindungan selama lebih 10 minggu.

“Kami mempunyai bekalan penting yang boleh menyelamatkan nyawa, sedia dihantar di sempadan. Kami mempunyai mekanisme ketat untuk memastikan bantuan hanya sampai kepada orang awam dan bukan kepada Hamas. Namun, Israel menafikan akses kepada kami, meletakkan matlamat mengosongkan Gaza melebihi nyawa orang awam,” katanya kepada Majlis Keselamatan.

Menurut Fletcher, kira-kira 70 peratus wilayah Gaza kini berada di bawah arahan pemindahan atau dalam zon ketenteraan Israel, menyebabkan ratusan ribu orang awam terperangkap di kawasan yang semakin mengecil tanpa keperluan asas.

“Setiap seorang daripada 2.1 juta penduduk Palestin di Semenanjung Gaza menghadapi risiko kebuluran. Satu daripada lima orang berada di ambang kebuluran,” katanya sambil memetik laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO).

Israel menyekat kemasukan barangan dan bantuan ke Gaza pada 2 Mac, selepas fasa pertama gencatan senjata pada Januari dengan Hamas berakhir. Ia menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, dengan sekurang-kurangnya 2,720 penduduk Palestin terbunuh sejak itu.

Kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza semakin meningkat susulan pengumuman Israel yang ia merancang untuk memperhebatkan kempen ketenteraannya.

Wakil Tetap China ke PBB, Fu Cong berkata hampir setengah juta penduduk Gaza kini berhadapan tahap kebuluran yang amat dahsyat.

Beliau menggesa Israel agar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menamatkan sekatan bagi membolehkan akses tanpa halangan kepada makanan, ubat-ubatan dan bekalan penting lain.

Gaza kini menjadi tempat paling berbahaya untuk pekerja kemanusiaan, dengan lebih 400 pekerja terbunuh dalam konflik semasa, kata Fu.

“China menggesa Israel agar segera menghentikan serangan ketenteraan ke atas Gaza,” tegasnya, sambil berkata yang tindakan ketenteraan tidak akan menyelesaikan konflik malah hanya memanjangkan krisis kemanusiaan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan