Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail
MOSCOW, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia perlu bersedia untuk merebut segala peluang yang ada terutama daripada segi hubungan perdagangan sekiranya hubungan antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) kembali pulih.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata banyak peluang boleh diterokai di Rusia kerana negara itu mempunyai sumber yang pelbagai serta memiliki kekuatan daripada segi teknologi termasuk dalam bidang pertanian dan lain-lain.
"Hubungan baik Malaysia dan Rusia sudah lama tetapi ia tidak begitu cemerlang kerana ada kekangan disebabkan Rusia dikenakan sekatan secara unilateral oleh AS.
"Sebenarnya banyak peluang di negara ini dan kita perlu bersedia untuk meneroka peluang yang ada kerana jika hubungan AS dan Rusia pulih, kita kena dapatkan peluang ini.
"Washington kini mempunyai pandangan yang berlainan berbanding (pentadbiran) dahulu, saya yakin bahawa jika pulih, kita akan dapat banyak faedah," katanya ketika berucap dalam sesi bertemu rakyat Malaysia di sini pada Selasa.
Majlis makan malam itu diadakan sempena lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia, yang bermula hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Mohamad turut menasihati pelajar Malaysia di Rusia supaya terus menjaga nama baik negara dan apabila tamat pengajian kelak, mereka dapat kembali berkhidmat di tanah air terutama dalam bidang perubatan serta kejuruteraan yang sangat diperlukan.
Harapan sama disuarakan oleh Chang yang berkata pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh pelajar di Rusia sangat diperlukan lebih-lebih lagi ketika Malaysia berhasrat menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
"Kita harap negara kita akan menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030 dan dalam keadaan global yang tidak menentu ini, memang sangat mencabar untuk menarik pelaburan yang berkualiti tinggi, dipacu teknologi, intensif modal dan lain-lain.
"Kita perlu tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan di mana kita boleh cari tenaga kerja yang berkemahiran tinggi? Satu, sudah tentu dari (sumber) tempatan dan kedua adalah saudara-saudari sekalian yang berada di luar negara," katanya.
Mohamad pula berkata isu keterjaminan makanan juga menuntut pelajar Malaysia di luar negara supaya mengambil peluang untuk menerokai teknologi baharu dan moden supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi.
"Kita lihat China, mereka memang sudah melangkah jauh ke hadapan dalam hal teknologi moden bagi mengusahakan pertanian ataupun apa sahaja yang mereka lakukan. Mereka sudah berada di tahap yang tinggi bahkan boleh bertarung dengan negara kuasa besar lain," katanya.
Sementara itu, Zambry berkata Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 yang bertujuan merubah sistem pendidikan tinggi negara selari dengan perkembangan teknologi semasa dan cabarannya dijangka dilancarkan hujung tahun ini.
Johari pula memaklumkan bahawa beliau telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Rusia untuk mengurangkan masalah dalam urusan perdagangan berikutan sekatan yang dikenakan terhadap negara itu.
Perdana Menteri tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari ke Rusia yang bermula hari ini.
Lawatan rasmi itu, yang berlangsung hingga 16 Mei, adalah atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin dan merangkumi kunjungan ke beberapa lokasi utama di Moscow serta Kazan, Tatarstan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial