DUNIA

Upacara Bajak Tradisional Warnai Musim Penanaman Padi Di Asia Tenggara

15/05/2025 02:52 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 15 Mei (Bernama) --  Petani di seluruh Asia Tenggara terus meraikan upacara membajak tradisional yang menandakan permulaan musim baharu menanam padi apabila musim hujan tiba.

Banyak negara agraria termasuk Kemboja, Myanmar, Thailand dan Vietnam menyambut upacara ini dalam suasana penuh perayaan, lazimnya pada bulan Mei. Hari bersejarah ini turut menghargai sumbangan masyarakat tani kepada ekonomi.

Secara tradisinya dikenali sebagai Pithi Chrat Pheah Neang Korl , upacara diraja ini disambut secara rasmi di Kemboja hari ini (15 Mei), dan diisytiharkan sebagai cuti umum kebangsaan untuk menandakan kepentingannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persekutuan Petani Kemboja, Sok Sotha berkata masyarakat petani menghormati kepercayaan tradisional sejak turun-temurun, termasuklah Upacara Membajak Diraja.

“Upacara Membajak Diraja kekal sebagai simbol perhubungan antara Istana Diraja, Kerajaan Diraja Kemboja, para petani, komuniti pertanian dan rakyat secara umum.

“Lebih-lebih lagi, masih wujud hubungan rapat antara rakyat, kepercayaan tradisional dan alam semula jadi,” kata Sotha kepada Bernama.

 

Tradisi Turun-temurun

Upacara tradisi itu diserikan dengan dua ekor lembu diraja yang dihias indah dilepaskan untuk memilih dan memakan sajian yang disediakan seperti beras, rumput, bijan, jagung, kacang dan minuman seperti air dan wain.

Melalui corak pemilihan makanan oleh lembu diraja itu, sami akan meramal hujan, serangan perosak dan hasil pertanian bagi musim yang akan datang.

“Petani percaya kepada ramalan ini, dan mereka juga memerhati keadaan cuaca. Kini mereka bersedia menyambut musim hujan dan memulakan penanaman,” kata Sotha.

Upacara Membajak Diraja tahun ini diadakan di Padang Diraja, Stadium Kampong Chhnang di wilayah Kampong Chhnang, dan disempurnakan oleh Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni.

Pada upacara pagi ini, lembu diraja memakan 95 peratus beras, 95 peratus jagung dan 80 peratus kacang. Berdasarkan pemilihan makanan ini, sami meramalkan hasil tuaian bagi ketiga-tiga tanaman itu akan melimpah pada musim ini, lapor agensi berita Fresh News.

 

Makna Budaya dan Ekonomi

Padi kekal sebagai simbol kehidupan dan kesuburan, yang sangat berkait rapat dengan amalan kerohanian dan budaya banyak masyarakat Asia. Ia diraikan ketika musim menanam dan menuai.

Selain itu, padi merupakan eksport komersial utama bagi banyak negara, menjana pekerjaan, hasil negara serta menjadi makanan ruji jutaan penduduk dalam ekonomi Asia Tenggara.

Di Thailand, yang pertanian menjadi tonggak ekonomi, Upacara Membajak Diraja atau Raek Na Khwan telah diadakan pada 9 Mei.

Pengurus Besar Rizab Beras Kecemasan ASEAN+3, Dr Choomjet Karnjanakesorn berkata upacara ini mempunyai nilai budaya yang mendalam dalam masyarakat Thai.

“Petani Thailand ingin mendapatkan benih padi daripada upacara itu untuk ditanam di sawah mereka (walaupun hanya beberapa butir). Mereka percaya benih padi daripada upacara ini mampu menghasilkan tuaian yang baik sepanjang musim,” katanya kepada Bernama.

Musim penanaman dan kehadiran hujan amat penting bagi jutaan petani di tanah besar Asia Tenggara yang merupakan pengeluar beras utama bagi pasaran dunia.

Thailand dan Vietnam merupakan pengeksport beras utama dengan jumlah hampir lapan juta tan metrik setiap tahun, manakala beras wangi bijirin panjang Kemboja mendapat permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan