KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Agrobank melancarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) di Sabah hari ini untuk memperluas perlindungan kewangan kepada pesawah di seluruh negara.
Agrobank dalam kenyataan hari ini berkata STTP yang diperkenalkan sejak September 2024 menawarkan perlindungan patuh syariah sehingga RM3,000 bagi kerugian akibat bencana alam serta sehingga RM1,500 bagi serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman -- lebih tinggi berbanding skim bantuan bencana sedia ada.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata sehingga 30 April 2025, seramai 5,642 pesawah di Sabah telah mendaftar dan mendapat perlindungan STTP.
"Lebih 19,000 pesawah masih belum berdaftar termasuk 6,602 individu yang masih belum mempunyai akaun Agrobank," katanya dalam kenyataan yang sama.
Menurutnya skim ini ditawarkan dengan kadar caruman yang berpatutan sebanyak RM64.80 per hektar per musim dan buat masa ini kadar caruman berkenaan akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pesawah yang masih belum berdaftar untuk segera berbuat demikian supaya tidak ketinggalan daripada mendapatkan perlindungan ini.
Sehingga Mac 2025, sejumlah RM 16.2 juta pampasan telah diluluskan bagi membantu meringankan beban seramai 6,319 pesawah dari seluruh negara yang terkesan akibat bencana.
"Pelancaran STTP di Sabah adalah bukti komitmen Agrobank dalam memastikan tiada pesawah yang terpinggir daripada perlindungan kewangan yang amat diperlukan.
“Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh komuniti pesawah dan akan terus melaksanakan peranan kami sebagai penyedia solusi kewangan yang inklusif dan menyeluruh untuk sektor agromakanan," katanya.
Menurut kenyataan itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyambut baik usaha kerajaan Sabah melalui penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) sebagai rakan strategik yang akan membantu memperkukuh pengurusan industri padi dan beras yang lebih tersusun, cekap dan berdaya saing di Sabah.
Katanya langkah ini selaras dengan matlamat kementerian untuk terus meningkatkan keterjaminan makanan negara dan memperkukuh rantaian nilai agromakanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial