JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Kelantan Terima Serahan Hasil Rampasan Petrol, Diesel Lebih RM100,000

14/05/2025 10:14 PM

KOTA BHARU, 14 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menerima dua serahan kes melibatkan 20 kenderaan, 1,570 liter petrol dan 80 liter diesel yang dianggarkan bernilai lebih RM110,000 semalam.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata serahan pertama dilakukan oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara melibatkan 870 liter petrol, 80 liter diesel dan 10 kenderaan termasuk kereta jenis Proton Wira, Waja, Iswara dan Perodua Kenari hasil operasi di sekitar Tumpat.

"Kebanyakan rampasan dilakukan di stor haram di Tumpat yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan bahan api untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran dengan nilai keseluruhan sitaan termasuk minyak dan kenderaan dianggarkan RM49,013.90.

"Tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun yang ditahan turut diserahkan kepada pihaknya untuk dirakam percakapan dan diambil keterangan bagi tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sementara itu, dalam serahan berasingan, pihaknya turut menerima 10 kes tangkapan daripada Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, melibatkan rampasan 700 liter petrol dan 10 kenderaan bernilai RM68,935.

"Antara kenderaan yang disita termasuk sebuah kereta jenis Proton Wira, lapan kereta jenis Proton Waja dan sebuah kereta jenis Honda Accord," katanya.

Beliau berkata kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.

"Saya ingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau memiliki barang kawalan tanpa kebenaran kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

"Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengesyaki sebarang aktiviti penyelewengan atau penyeludupan barang kawalan bagi memastikan keselamatan ekonomi negara terus terjamin," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan