AM

Ujian Puspakom: Pemilik Kenderaan Perdagangan Tidak Boleh Bergantung Sepenuhnya Pada Ejen

14/05/2025 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Majikan atau pemilik sesebuah syarikat kenderaan perdagangan perlu lebih bertanggungjawab dalam urusan pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan tidak bergantung sepenuhnya kepada ejen.

Presiden Persatuan Pakatan Pemandu Berhemah Malaysia Nor Aizam Abd Kadir berkata pemeriksaan Puspakom perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk dipandu di jalan raya.

“Ada sesetengah majikan lepaskan sepenuhnya pada ejen untuk lakukan pemeriksaan Puspakom, ini tidak digalakkan… majikan kena ambil peduli dan bertanggungjawab memastikan ujian itu dilakukan dengan telus dan teliti mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang ini terbitan Bernama TV yang membincangkan isu 'Nahas Maut Kenderaan Berat, Apakah Penyelesaiannya?' 

Nor Aizam mengulas nahas jalan raya di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pagi semalam yang mengakibatkan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) maut, dua parah manakala tujuh lagi cedera.

Insiden pada 8.50 pagi itu berpunca daripada kerosakan sistem stering lori yang membawa muatan batu sebelum merempuh trak dinaiki 18 anggota FRU yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot.

Beliau berkata pemeriksaan Puspakom sepatutnya dilakukan sendiri oleh pemandu di syarikat terbabit kerana mereka lebih mengetahui keadaan kenderaan yang digunakan setiap hari.

Nor Aizam juga berharap pihak berkuasa mewujudkan inisiatif untuk pemandu kenderaan perdagangan melakukan ujian kesihatan secara berkala.

“Mungkin enam bulan sekali buat inisiatif periksa kesihatan atau penglihatan dia… ini wajar dilakukan demi memastikan pemandu ini layak  untuk memandu,” katanya. 

Beliau juga memohon pihak yang bertanggungjawab mengiktiraf golongan pemandu kenderaan berat dengan memberikan gred gaji setimpal dengan pengalaman dan kemahiran.

Nor Aizam berkata ini bagi memastikan mereka tidak tertekan sehingga hanya memikirkan untuk mengejar bilangan perjalanan tanpa mengutamakan keselamatan di jalan raya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan