SHAH ALAM, 30 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkenalkan kad Perancang Pewarisan Islam (PPI) kepada kesemua ejen berdaftar sebagai inisiatif mencegah penipuan membabitkan hal pengurusan harta.
Pengerusinya Datuk Salehuddin Saidin berkata kad PPI adalah dokumen khas dengan pelbagai kelebihan seperti nombor rujukan pelantikan, tarikh sah laku, gambar dan nama ejen yang boleh mengelakkan masyarakat daripada ditipu jika mahu menggunakan perkhidmatan mereka.
"Inisiatif itu dilihat sebagai mekanisme pencegahan awal untuk melindungi umat Islam daripada menjadi mangsa penipuan, jadi kad itu dapat membezakan sama ada mereka berurusan dengan ejen sah atau tidak.
"Dalam masa sama MAIS mahu orang ramai tahu peranan PPI diwujudkan bagi memudahkan umat Islam menguruskan harta pusaka mengikut syarak dengan harga paling rendah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Salehuddin berkata MAIS hanya mengenakan bayaran serendah RM300 untuk proses wasiat atau hibah dengan hasrat meringankan beban golongan B40 merancang urusan wasiat dan hibah.
Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif itu juga dapat meningkatkan pengetahuan, kesedaran serta keyakinan dalam kalangan umat Islam bahawa pentingnya urusan harta terutamanya wasiat dan hibah.
Beliau berkata setakat ini MAIS telah melantik 63 ejen bertauliah dan merancang untuk menggandakan jumlah berkenaan pada masa akan datang dalam usaha memperluaskan capaian perkhidmatan PPI di seluruh Selangor.
Terdahulu, Salahuddin menghadiri Majlis Penghargaan Rakan Media dan Strategik bagi meraikan pengamal media yang telah memberi kerjasama membuat liputan berita MAIS sepanjang 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial