SANDAKAN, 14 Mei (Bernama) -- Sebanyak empat projek menaik taraf kemudahan pelancongan di Sabah telah diluluskan tahun ini kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.
Beliau berkata dua projek itu di bawah pembiayaan kerajaan Persekutuan berjumlah RM750,000 manakala dua lagi menerusi pembiayaan kerajaan Sabah berjumlah RM500,000.
"Projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan Sabah bersedia sepenuhnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya dalam kenyataan selepas melawat Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo di sini hari ini.
Liew berkata usaha menaik taraf itu selaras dengan komitmen Sabah dalam memajukan ekopelancongan mampan agar pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi bergerak seiring.
Penaiktarafan itu katanya akan memberi nilai tambah kepada pengalaman pelawat di kawasan pelancongan di samping memelihara kepentingan ekosistemnya dalam jangka masa panjang.
Liew berkata Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok adalah antara pusat pemulihan orang utan tertua di dunia dan telah menarik pelawat dari seluruh pelosok dunia sejak dibuka pada 1964.
Beliau berkata pusat itu memainkan peranan penting dalam usaha konservasi hidupan liar dan turut menjadi pusat pendidikan kepada generasi muda serta pelancong antarabangsa.
Sementara itu, Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo pula adalah satu-satunya pusat pemuliharaan beruang madu di dunia yang menyediakan perlindungan kepada spesies terancam berkenaan serta menjadi hab penyelidikan dan pendidikan alam sekitar.
"Dengan penambahbaikan infrastruktur, pusat ini dijangka dapat menarik lebih ramai pelawat dan meningkatkan kesedaran mengenai konservasi biodiversiti Borneo," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial