SUKAN

Gelaran Olahragawati Kebangsaan Bakar Semangat Nor Farah Ke Sukan Komanwel 2026

13/05/2025 04:33 PM

PETALING JAYA, 13 Mei (Bernama) -- Dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan membakar semangat atlet boling padang negara Nor Farah Ain Abdullah untuk membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel edisi Glasgow 2026.

Nor Farah berkata misi itu bukanlah mudah memandangkan beliau perlu berebut tempat untuk beraksi di temasya sukan empat tahun sekali itu dengan senior lain.

“Sasaran terbesar saya adalah untuk beraksi di Sukan Komanwel 2026 namun saya perlu bertanding (rebut tempat) dengan senior saya dahulu,” katanya kepada pemberita selepas Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 di sini, hari ini.

Pemain nombor satu dunia itu muncul atlet boling padang wanita negara pertama meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan.

Beliau yang ketika ini sedang berehat susulan kecederaan bahu kanan berharap dapat kembali beraksi pada Hong Kong International Bowls Classic 2025 dijadualkan November ini.

Nor Farah menyifatkan gelaran itu sebagai pencapaian paling besar dalam kariernya dan berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Persekutuan Lawn Bowls Malaysia terutama presiden Datuk Awalan Abdul Aziz dan Majlis Sukan Negara atas sokongan padu selama ini.

Atlet itu mencuri perhatian selepas meraih pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lepas.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh yang mewakili beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyifatkan pengiktirafan diterima bekas juara dunia 2022 itu sebagai perghormatan tertinggi buat sukan badminton tanah air.

Kenny berharap kejayaan mereka mampu melonjakkan motivasi bukan sahaja Aaron-Wooi Yik malah pemain lain untuk menghasilkan keputusan cemerlang sekali gus mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Aaron-Wooi Yik tidak hadir kerana menyertai kejohanan Terbuka Thailand 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad.

Pasangan beregu itu yang kini berada di ranking kelima dunia mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan gandingan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada Paris 2024.

Sementara itu, Kenny mengunci mulut mengenai status terkini kontrak beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah bersama BAM, yang berakhir Disember lepas.

Timbalan Presiden 1 BAM Datuk V. Subramaniam pada Sabtu lepas memaklumkan sebarang keputusan berkaitan beregu itu akan ditentukan selepas selepas tamat kejohanan Terbuka Thailand 2025, bermula hari ini hingga Ahad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan