DUNIA

PM Anwar Lakukan Lawatan Rasmi Ke Rusia

12/05/2025 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei ini – bermula di Moscow pada 13 Mei sebelum ke Kazan, Republik Tatarstan pada 15 Mei bagi menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa "Rusia-Dunia Islam ke-16: KazanForum".

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia serta memperkasa rangka kerja kerjasama serantau dan pelbagai hala seperti ASEAN dan BRICS.

“Di Moscow, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan peringkat tertinggi dengan Presiden Vladimir Putin dan Perdana Menteri Mikhail Mishustin bagi menilai kemajuan hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian dan agri-komoditi, pendidikan, aeroangkasa serta tenaga. 

“Para pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Wisma Putra, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut berhasrat meneroka peluang untuk memperkasakan kerjasama menerusi rangka kerja Hubungan Dialog ASEAN-Rusia.

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan sesi meja bulat bersama pemimpin industri, menyampaikan syarahan umum di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) serta mengadakan pertemuan bersama diaspora Malaysia di Moscow.

Di Kazan, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov dan menyampaikan ucaptama khas semasa Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Rusia-Dunia Islam.” 

Kemuncak bagi lawatan Perdana Menteri ke Kazan ialah penyertaannya dalam Forum Ekonomi Antarabangsa "Rusia-Dunia Islam ke-16: KazanForum", di mana beliau dijemput menyampaikan ucaptama semasa sesi pleno. KazanForum merupakan platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.

Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (US$2.48 bilion). 

Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan alat ganti serta makanan yang diproses. 

Import dari Rusia pula terdiri daripada produk petroleum, mineral, serta bahan kimia dan produk berasaskan kimia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan