JENAYAH & MAHKAMAH

Bomba Cari Empat Lelaki Dikhuatiri Hilang Di Hutan Lahad Datu

12/05/2025 09:05 PM

LAHAD DATU, 12 Mei (Bernama) -- Empat lelaki dikhuatiri hilang selepas masuk ke hutan di Tamaco, Tungku dekat sini apabila mereka gagal dihubungi sejak Khamis lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Balai Polis Tungku bagi bantuan mencari orang hilang di hutan berkenaan.

Berdasarkan laporan awal, beliau berkata pengadu memaklumkan sepupunya, Fendery Ani, 37, bersama tiga rakan lain masuk ke hutan itu pada 4 petang 8 Mei lepas untuk mencari hasil hutan namun hingga kini tidak dapat dihubungi.

"Mereka tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sumsoa berkata pengadu turut menghubungi penyelia dari Kem Cenderawasih di sini yang dikenali sebagai Sarjan Wan pada 2 petang semalam dan difahamkan Fendery sepatutnya bertugas ketika itu.

Beliau berkata sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Maklumat tiga rakan Fendery belum diperoleh dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan