DUNIA

Thailand Menuju Status Peneraju Makanan Masa Depan Dunia

12/05/2025 04:35 PM

Daripada Fatin Nabihah Marzuki

CHIANG MAI, 12 Mei (Bernama) -- Thailand, dikenali sebagai “dapur dunia” sejak sekian lama.

Sebagai antara pengeksport utama beras, gula, ayam dan makanan laut, negara Gajah Putih itu kini berusaha menjadi peneraju dalam penghasilan makanan masa depan.

Makanan masa depan dikategorikan kepada empat kategori iaitu makanan berfungsi dan bahan berfungsi, makanan perubatan dan peribadi, protein alternatif dan makanan organik.

Contoh makanan berfungsi ialah produk yang memberikan manfaat kesihatan tambahan seperti meningkatkan imuniti atau menambah tenaga seperti minuman botani dengan ekstrak herba Thailand mengandungi serai atau halia.

Protein alternatif pula seperti burger, sosej atau daging berasaskan tumbuhan yang menyerupai rasa dan tekstur daging sebenar.

 

EKSPORT MAKANAN MASA DEPAN

Eksport makanan masa depan Thailand sedang berkembang pesat ekoran peningkatan kesedaran orang ramai dalam penjagaan kesihatan.

Ia antaranya disumbangkan oleh faktor pasca pandemik COVID-19 dengan rata-rata individu cenderung memilih makanan yang lebih sihat, dihasilkan secara mampan dan mesra alam.

Menurut Pengarah Urusan Nithi Foods dan Naib Presiden Persatuan Perdagangan Makanan Masa Depan Thailand Smith Taweelerdniti, makanan masa depan menyumbang kira-kira sembilan peratus daripada jumlah eksport makanan Thailand.

Berucap pada Press Meeting & Networking for Fi Asia & Vitafoods Asia 2025, di Chiang Mai baru-baru ini, Taweelerdniti berkata Januari tahun ini, jumlah eksport bagi kategori terbesar iaitu makanan berfungsi dan bahan berfungsi adalah bernilai Thai baht (THB) 11.53 billion.

Ini diikuti makanan perubatan dan peribadi (THB 629 juta), protein alternatif (THB 384 juta) dan makanan organik (THB 117 juta).

Pasaran eksport utama Thailand bagi sektor industri itu merangkumi 50 peratus ke negara-negara ASEAN, China (21 peratus), Amerika Syarikat (18 peratus) dan Kesatuan Eropah (10 peratus).

 

HARI TANPA DAGING

Meskipun mempunyai jumlah eksport yang memberangsangkan, Taweelerdniti berpendapat cabaran bagi negara berkenaan adalah tahap penggunaan makanan masa depan tempatan yang masih rendah.

“Jika rakyat Thailand sendiri tidak makan apa yang mereka hasilkan, Thailand tidak boleh mendakwa sebagai peneraju dalam industri makanan masa depan,” katanya.

Antara langkah dilakukan pihaknya dengan kerjasama Informa Markets Thailand pada 2023 dalam mempercepat pertumbuhan industri itu ialah melancarkan kempen “Wen Day on Wednesday”. Dalam bahasa Thailand, “wen” bermaksud elak atau langkau.

Setiap Rabu, rakyat Thailand digalakkan untuk mengelak daripada memakan makanan bersumberkan daging haiwan dan memilih protein alternatif seperti makanan berasaskan tumbuhan, makanan fermentasi atau serangga yang boleh dimakan.

Kempen itu turut mengalakkan pengendali makanan seperti restoran, kantin, sekolah, hospital dan hotel menawarkan variasi makanan masa depan kepada pelanggan dalam usaha mempromosikan gaya hidup mampan.

Inisiatif lain, SPACE-F, iaitu pemecut inkubator teknologi makanan yang ditaja Agensi Inovasi Kebangsaan, syarikat Thai Union dan Universiti Mahidol bagi membantu membangunkan dan menyokong perusahaan baharu dalam bidang berkenaan.

Kementerian Perdagangan Thailand juga menyediakan 30 peratus makanan berasaskan tumbuhan dalam majlis rasmi sebagai sokongan terhadap makanan masa depan dan pengurangan emisi karbon.

"Matlamat utama kami ialah menjadikan Thailand sebagai peneraju dalam makanan masa depan secara holistik, bukan hanya dari aspek eksport, tetapi juga dalam pemakanan rakyat tempatan, dasar negara dan teknologi makanan,” kata Taweelerdniti.

 

PAMERAN MAKANAN MASA DEPAN

Sejak 2005, Thailand memegang status negara masyarakat menua dan menuju ke arah masyarakat super menua menjelang 2036. Ini berikutan kadar kelahiran di sini yang mencapai lebih satu juta setahun antara tahun 1963 dan 1983 telah menurun kepada sekitar 502,000 kelahiran pada 2022.

Tahun 2023 juga merekodkan bilangan pesara berusia 60 hingga 64 tahun yang lebih ramai berbanding belia yang memasuki bidang kerja pada usia 20 hingga 24 tahun.

Menurut Pengarah Portfolio Serantau Informa Markets bagi ASEAN Rungphech Chitanuwat, ketika ini makanan nutraseutikal menjadi topik hangat di Thailand yang sedang memasuki era masyarakat super menua. Nutraseutikal merupakan gabungan perkataan nutrisi dan farmaseutikal yang bermaksud makanan kesihatan berfungsi. 

“Semua orang kini semakin risau tentang penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan masalah kesihatan lain. Kita melihat peningkatan penggunaan suplemen dalam kehidupan seharian. Ini contoh yang baik kenapa industri makanan berkembang dan ia jelas dilihat di Thailand,” katanya.

Sehubungan itu, dua acara pameran makanan dan minuman akan diadakan serentak, Fi Asia Thailand dan Vitafoods Asia 2025 yang diadakan di Queen Sirikit National Convention Center, Bangkok pada 17 hingga 19 September depan.

Dua acara itu menawarkan akses kepada keseluruhan spektrum inovasi makanan dan minuman serta nutraseutikal di rantau ini.

Fi Asia memfokuskan pameran bahan makanan dan minuman dengan mengumpulkan lebih 700 pengilang dan pembekal dari seluruh negara, manakala Vitafoods Asia pula memfokuskan antaranya makanan berfungsi, bahan dan produk nutraseutikal.

Pelbagai program akan diadakan seperti zon inovasi, persidangan antarabangsa, pertandingan bagi syarikat pemula makanan dan minuman, program bahan dan makanan baharu.

“Kami menjangkakan lebih 30,000 pelawat dan pembeli akan menghadiri dua acara ini. Ia adalah sinergi erat antara bahan makanan, suplemen dan produk nutraseutikal yang siap.

“Selain itu, dalam persidangan nanti, kami akan berkongsi maklumat trend pengguna di Asia Pasifik tentang mengapa Thailand mengeksport makanan ke negara tertentu selain bagaimana Thailand sendiri akan memasuki fasa super ageing society dalam beberapa tahun lagi.

“Kita juga akan membincangkan kemas kini dari segi peraturan dan undang-undang (eksport import makanan). Ini sangat menarik kerana masih tiada penyelarasan peraturan di rantau ini. Jadi, pihak berkuasa kawal selia akan berkongsi tentang apa yang perlu dilakukan.

“Sebagai contoh, jika saya ingin menjual ke Indonesia, apa prosedurnya? Ini antara contoh untuk membantu peserta memahami ekosistem perniagaan makanan di negara masing-masing,” katanya.

Thailand merupakan antara pasaran terbesar bagi sektor nutraseutikal di rantau Asia Pasifik. Menurut Euromonitor International, pasaran nutraseutikal negara itu bernilai THB 190 bilion pada tahun 2022 dan dianggarkan mencecah THB 239 bilion menjelang tahun 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan