SUKAN

Tang Jie, Ee Wei Bersama Gandingan Baharu Tidak Beraksi Di Terbuka Thailand

09/05/2025 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei bersama gandingan baharu masing-masing tidak akan beraksi di Terbuka Thailand pada 13 hingga 18 Mei ini.

Jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata keputusan dibuat bagi meringankan beban kedua-dua gandingan itu susulan jadual padat tiga kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka Taiwan yang sedang berlangsung, Terbuka Thailand dan Masters Malaysia (20 hingga 25 Mei).

“Mereka memilih untuk tidak beraksi di Terbuka Thailand tapi akan bermain di Masters Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Pada Mac lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan gandingan Tang Jie-Ee Wei dipisahkan sementara susulan cadangan daripada panel kejurulatihan termasuk Rexy Mainaky dan Nova pada Mesyuarat Jawatankuasa Prestasi.

Keputusan dibuat bagi memberi ruang kepada beregu campuran yang kini menghuni ranking kelima dunia itu, menyelesaikan isu yang timbul antara mereka.

Berikutan itu, kedua-dua mereka mendapat gandingan baharu menyaksikan Ee Wei digandingan dengan Loo Bing Kun manakala Tang Jie pula bergandingan dengan Chan Wen Tse dan Terbuka Taiwan menjadi ujian pertama mereka.

Namun, pada April lepas BAM mengumumkan Tang Jie-Ee Wei kembali digandingkan susulan permintaan daripada kedua-dua pemain serta hasil perbincangan menyeluruh antara pasukan kejurulatihan dan pemain.

Piala Sudirman baru-baru ini menjadi pentas pertama mereka bergandingan semula sebelum beraksi di Terbuka Singapura pada 27 Mei hingga 1 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan