JENAYAH & MAHKAMAH

Status NFA Bukan Bermaksud Siasatan Kes Simbah Asid Faisal Halim Dihentikan - Shuhaily

08/05/2025 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Polis tetap meneruskan siasatan kes simbah asid melibatkan tonggak utama pasukan Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim walaupun kes terbabit diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata status NFA merujuk kepada tangkapan tiga individu serta beberapa petunjuk termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan lakaran wajah yang diedarkan sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

“Ini merupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam mana-mana siasatan. Sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau membantu siasatan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud perkembangan atau maklumat baharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shuhaily berkata tiga individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan selepas siasatan mendapati suspek sebenar menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu manakala hasil analisis forensik terhadap telefon suspek tidak menunjukkan sebarang bukti penglibatan dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata rakaman CCTV serta lakaran wajah yang diperoleh setakat ini juga tidak dapat mengenal pasti pelaku sebenar.

Mohd Shuhaily berkata sebarang perkembangan berkaitan kes akan dimaklumkan kepada peguam yang mewakili Faisal dari semasa ke semasa, dengan siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada pihak pendakwaan sekiranya terdapat petunjuk baharu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.

Media hari ini melaporkan peguam yang mewakili Faisal memohon kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar kertas siasatan terhadap kes simbah asid membabitkan pemain sayap sensasi Selangor FC dan kebangsaan itu dibuka semula.

Peguam Nik Zarith Nik Moustpha berkata pihaknya telah menyerahkan surat berkenaan kepada AGC pada 15 April lepas, namun setakat ini tiada maklum balas daripada pihak terbabit. 

Nik Zarith berkata pihaknya menerima surat daripada AGC pada 18 Feb lepas yang memaklumkan bahawa kes itu sudah diklasifikasikan sebagai NFA.

Pada 5 Mei tahun lepas, Faisal, 27, menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan