AM

Pengorbanan Tanpa Batas, Warga PDRM Terus Komited Lindungi Negara – KPN

07/05/2025 08:51 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah lelah mempertahankan keselamatan negara meskipun tanpa sebarang sanjungan atau pujian, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata anggota PDRM sentiasa bersedia mengenepikan kepentingan peribadi dan sanggup mempertaruhkan nyawa demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

“Segala khidmat bakti yang kami curahkan berteraskan keikhlasan, jati diri, kesetiaan, ketaatan serta keyakinan bahawa setiap pengorbanan akan menerima ganjaran sewajarnya daripada Yang Maha Esa,” katanya.

Razarudin berkata demikian menerusi ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen Galakan Membaca dan Penyerahan Buku PDRM Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini hari ini, yang dibacakan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.

Beliau berkata PDRM yang kini berusia 218 tahun, kekal komited memainkan peranan sebagai agensi penguat kuasa utama negara.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyerahan buku khas yang menghimpunkan kisah pengorbanan anggota polis, disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar kepada PDRM, sebagai simbol penghargaan kepada warga pasukan itu.

Buku berkenaan memaparkan kisah serta gambar pengorbanan anggota PDRM yang boleh menjadi sumber inspirasi dan rujukan kepada masyarakat umum, khususnya generasi muda.

Mengulas mengenai buku tersebut, Razarudin berkata ia mengetengahkan kisah wira tidak didendang dan diharap dapat menyemai semangat patriotisme serta memperkukuh jati diri rakyat.

Beliau turut menyeru masyarakat agar memanfaatkan bahan bacaan seumpama itu untuk memahami cabaran sebenar perjuangan dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara.

“Dengan membaca, generasi muda masa kini dapat menyelami hakikat perjuangan dan cabaran yang dilalui oleh wira negara terdahulu dalam usaha memperoleh kemerdekaan dan mengekalkan keharmonian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan